PUTRAJAYA - Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila keadaan telah benar-benar diyakini kembali pulih, kata Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memahami bahawa ibu bapa bimbang sekiranya mereka tidak dapat membuat persediaan sewajarnya jika pengumuman pembukaan semula sekolah dibuat secara tiba-tiba.

"Ibu bapa tidak perlu risau. KPM akan sentiasa berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi pembukaan semula sekolah.

 "KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Mohd Radzi berkata, apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan jarakan sosial akan diberi keutamaan.

"Selain itu, KPM juga telah mengadakan perbincangan secara mendalam dengan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan dengan pembukaan semula sekolah," katanya.

KPM, kata beliau, juga telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar dan Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat.

Beliau berkata isu persekolahan itu melibatkan hampir setiap lapisan masyarakat dan KPM telah mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama pelbagai pihak selain mendapatkan pandangan daripada ibu bapa dan guru melalui pelbagai saluran.

"Secara umumnya, dapatan daripada sesi perbincangan ini menunjukkan secara jelas bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pelajar mesti diutamakan," katanya. - Bernama

Tip menarik:

Nota Sejarah untuk calon SPM baca dan buat ulangkaji di rumah – Perkongsian Cikgu Sharifah Afida

Perkongsian kuiz online Perniagaan SPM daripada Guru Cemerlang SMK Bakar Arang

'Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video' - Cikgu boleh cuba ni

Guru ini buat video cara mudah 'login' Google Classroom sebagai murid.. mohon ibu bapa bantu