Membawa beg galas baharu ke sekolah adalah satu kebanggaan bagi golongan yang kurang berkemampuan terutamanya golongan B40.

Aspirasi Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) telah melancarkan inisiatif Bag-2-School bagi mengagihkan keperluan asas kepada lebih daripada 1,000 orang kanak-kanak kurang bernasib baik. 

Inisiatif ini dibuat adalah sebagai salah satu usaha negara untuk bangkit semula daripada pandemik Covid- 19 yang melanda.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, pendidikan amat penting dalam memutuskan rantaian kemiskinan di negara ini. 

“Kami percaya keperluan sekolah yang serba baharu mampu menarik minat kanak-kanak untuk terus belajar. Gardenia KL ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak khususnya  dari jabatan kebajikan masyarakat dan persatuan-persatuan kerana telah membantu menjayakan program ini.

“Terima kasih kerana telah bersama-sama kami dalam menarik minat kanak-kanak untuk kembali ke sekolah dan belajar bagi mencapai kejayaan yang diingini,” katanya.

Dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Pengguna Harapan Malaysia (PPHM), Gardenia KL mengagihkan sebanyak 1,157 beg galas sekolah yang mengandungi bekas air minuman dan pelbagai produk Gardenia yang bernilai sebanyak RM90,000. 

Bermula  7 hingga 15 April pengagihan telah dibuat sebagai usaha menceriakan kanak-kanak sekolah dari 18 buah sekolah yang terlibat.

Antara sekolah yang terlibat adalah 10 buah sekolah di Lembah Klang, iaitu SK Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling; SK Taman Cuepacs, Cheras; SJK Cina Lum Hua, Sabak Bernam; SMK Taman Selayang, Batu Caves; SMK Taman Klang Utama, Klang; SMK Sijangkang Jaya, Kuala Langat; SJK Tamil Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang; SJK Tamil Ladang West Country Barat, Kajang; SJK Tamil Ladang Bute, Sepang; dan SJK Tamil Sepang.

Manakala lapan buah lagi, terdiri daripada sekolah-sekolah di Johor, iaitu SMK Seri Bali, Segamat, Johor; SJK Tamil Paloh, Johor; SJK Tamil Ladang Sri Gading, Batu Pahat; SK Kampung Kudung, Bekok, Johor; SK Seri Yong Peng, Johor; SJK Tamil Ladang Kulai Oil Palm, Kulai; SJK Tamil Ladang Kelan, Kulai, Johor dan SJK Tamil Ladang Southern Malay, Simpang Renggam, Johor.

Inisiatif ini merupakan tradisi tahunan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2015 lagi. Tradisi ini sudah bertahan selama tujuh tahun lalu.   

Sebanyak  RM1 juta telah disumbangkan oleh syarikat bagi melancarkan Program Bantuan Covid-19 Gardenia pada awal tahun lepas. Jumlah ini adalah bagi membantu keluarga B40 yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Program Bantuan Covid-19 Gardenia telah menyumbang bantuan dalam empat peringkat dan usaha Gardenia KL dalam menjalankan program ini  sentiasa berjalan dengan lancar bagi membantu negara pulih daripada kesan pandemik. 

Usaha ini turut membantu Program Food Bank Malaysia, keluarga B40 dan petugas barisan hadapan termasuk penghantar barangan dan pemandu teksi yang menyediakan perkhidmatan sejak Mac 2020.

Sepanjang usahanya untuk membantu masyarakat yang memerlukan, Gardenia KL telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

“Kami di Gardenia KL mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia. Kami percaya ada sinar yang lebih cerah untukkita semua, terutamanya untuk anak-anak kita yang baru belajar dan meluaskan pengalaman mereka pada sesi persekolahan 2021,” kata Hazlinah.

Artikel menarik