GOMBAK - Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak bakal mementaskan sebuah teater muzikal yang diadaptasi daripada Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Lima bertajuk Mahsuri selama tiga hari, bermula 29 Februari hingga 1 Mac depan.

Pengetua Cemerlang, Nor Hayati Yusoff menyifatkan, pementasan teater muzikal Mahsuri sebagai pendedahan, pengetahuan dan pengalaman baharu kepada pelajarnya.

“Pementasan teater ini berupaya membentuk keyakinan diri pelajar dalam aspek komunikasi, menyerlahkan sisi kreatif mereka di samping membudayakan semangat kerja berpasukan,” katanya.

Seramai 111 pelajar menjayakan pementasan teater muzikal Mahsuri ini selaku pelakon, penari, pemuzik, penyanyi koir dan juga kru produksi.

Teater ini merupakan karya dan arahan guru Sekolah Seni, Azmizi Zakaria manakala Pengarah Muzik pula ialah Cikgu Salehudin Tais (Cikgu Muzik) yang pernah membimbing pasukan SBP Integrasi Gombak menjuarai Garage Band peringkat Kebangsaan pada tahun 2018.

Anjuran bersama SBP Integrasi Gombak dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Alumni SBPI Gombak, teater hebat ini turut menampilkan selebriti Arja Lee sebagai pelakon jemputan.

Mahsuri merupakan kisah legenda seorang wanita jelita di Pulau Langkawi yang dijatuhkan hukuman bunuh akibat fitnah, cemburu dan dengki.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Mahsuri bersumpah yang pulau itu akan menjadi padang jarak padang tekukur dan tidak akan makmur selama tujuh keturunan.

Kisah ini dipentaskan dalam bentuk yang menepati cita rasa kontemporari tanpa mengabaikan keaslian dan jati diri masyarakat Melayu ketika itu.

Jadual pementasan seperti yang berikut:

i) 28 Februari 2020 (Jumaat) – 8.30 Malam

ii) 29 Februari 2020 (Sabtu) – 8.30 Malam

iii) 1 Mac 2020 (Ahad) – 11 Pagi

Untuk menonton persembahan di Dewan Seri Gemilang, SBP Integrasi Gombak ini, tempahan boleh dibuat dengan menghubungi Cikgu Nor Hayati (012-9833636) dan Cikgu Mastura (019-3311488).

Juga, Cikgu Dahliza (019-7510406) dan Cikgu Fikriyyah (014-8250593).  

Tiket sumbangan bernilai RM50 setiap satu dan hasil kutipan akan disumbangkan untuk Tabung Kecemerlangan Akademik & Kokurikulum serta Pembangunan Infrastruktur sekolah.

Artikel Menarik:

Keputusan SPM 2019 diumum 25 Februari ini

Guru ini kongsi bagaimana tercetus ilham untuk pelajar cipta inovasi hingga menang peringkat dunia

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi