Dua pelajar program profesional perakaunan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar kecemerlangan apabila tersenarai pada kedudukan pertama di Malaysia dan antara 10 pelajar terbaik dunia bagi peperiksaan antarabangsa The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) serta Certified Accounting Technician (CAT) yang diadakan pada Disember tahun lalu.

Pelajar tahun ketiga program ACCA, Fatin Najwa Azman mendapat tempat pertama bagi kertas peperiksaan Audit and Assurance (AA) di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia.

Manakala Putera Aiman Abdul Rashid yang kini berada di semester kedua dan terakhir bagi program CAT telah disenaraikan di tempat pertama di Malaysia serta kedua dunia bagi kertas peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).

Menurut Dekan Fakulti Perakaunan UiTM, Prof Dr Haslinda Yusoff, kedua-dua pelajar tersebut amat komited dan berdedikasi dalam pembelajaran serta sering mewujudkan suasana pembelajaran yang positif.

“Pihak fakulti amat proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan malah pengurusan pembelajaran yang terancang dibantu oleh sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif di UiTM merupakan kombinasi menyumbang kepada kejayaan ini.

“Kejayaan ini membuktikan kecemerlangan Bumiputera di dalam bidang perakauan dan ia juga menjadi perangsang bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan Bumiputera yang terbaik di dunia,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan UiTM, hari ini.  

Tambah Prof Dr Haslinda lagi, pihak universiti amat berbangga dengan pencapaian kedua pelajar berkenaan, di samping menjadi pemangkin kepada semua terutama bagi menjadikan UiTM sebagai insitusi pendidikan unggul dunia.

“Fakulti Perakaunan UiTM terus komited dalam meneraju bidang pendidikan perakaunan di negara dengan menyediakan program akademik berkualiti di pelbagai peringkat termasuk Diploma, Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah di samping program profesional seperti CAT, ACCA, dan CIMA (Certified Institute of Management Accountants).

“Fakulti ini telah menjadi pusat kecemerlangan perakaunan sejak lebih 60 tahun yang lalu dan akan terus memacu kecemerlangan tersebut,” katanya.

UiTM merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam yang utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan 60,000 akauntan bertauliah pada tahun 2030.