Kesukaran menjalani kelas secara dalam talian bukan sahaja dirasai oleh para pelajar sekolah rendah mahupun menengah namun kesukaran ini turut dirasai oleh para pelajar Intitusi Pengajian Tinggi (IPT). 

GPS Bestari telah menemu bual salah seorang pelajar dari Sabah berkenaan cabaran yang dialaminya sepanjang belajar secara dalam talian pada musim pandemik Covid-19 ini.

Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Siti Khalijah Ag Anuar, 24, nyata tidak dapat menafikan tekanan yang dihadapi. 

Gadis berdarah kacukan Brunei, Filipina dan Cina ini telah menyatakan beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi. 

“Saya berasal dari Kampung Batu 6 1/2 Lumadan, Beaufort, Sabah. Di situ, capaian internet sangat susah.  Jadi saya terpaksa pilih untuk menetap di Semenanjung. 

“Di Shah Alam, saya tinggal seorang diri di rumah sewa. Tak ada kawan, tak ada keluarga di sini.  Jadi saya kena persiapkan fizikal dan mental,” jelasnya.  

Selain itu, belajar secara dalam talian juga tidak semudah yang disangka. 

"Cuma 30% sahaja masuk otak sebab ODL. Saya tidak dapat memahami apa yang diajar oleh pensyarah saya. Kalau dalam kelas saya boleh faham tapi bila secara dalam talian saya rasa kosong," akuinya.

Menyentuh mengenai kerinduannya terhadap keluarga yang tinggal jauh di kampung, Siti Khalijah berkata, sudah dua tahun beliau tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga.  

Keadaan ini turut memberi tamparan hebat buat dirinya kerana terpaksa menahan rindu terhadap orang tersayang.  

Pun begitu, bebanan yang terpaksa ditanggung ini bukanlah penghalang untuk beliau terus maju ke hadapan. Kesukaran yang hampir memutuskan semangatnya ini sekali gus menjadi pemangkin untuk dirinya terus berjuang meneruskan pengajiannya. 

Sokongan keluarga dari jauh dijadikan sumber kekuatan dan peneman setia sepanjang dirinya berada di perantauan.

"Kalau ikutkan hati dah lama saya putus asa tapi disebabkan saya anak sulung daripada empat adik-beradik, saya kuatkan diri untuk terus ke hadapan. Saya bersyukur kerana keluarga saya adalah sumber inspirasi saya sehingga ke hari ini," katanya. 

Siti Khalijah turut menyampaikan pesanan buat para pelajar khususnya pelajar-pelajar dari Borneo yang mengalami nasib yang sama seperti dirinya. 

"Sebagai pelajar kita kena bertanggungjawab dengan diri sendiri sebab bila belajar jauh, amanah kita bertambah sebagai seorang anak dan pelajar. Jadi kalau down kena cepat positifkan diri dan teruskan perjuangan. Kita juga kena yakin dengan diri sendiri dan percaya dengan hikmah yang akan kita dapat di masa akan datang,” jelasnya. 

Pada akhir perbualan, Siti Khalijah menyeru semua pelajar agar terus kuat dalam menempuhi alam pengajian. 

Katanya, setiap usaha dan pengorbanan pasti akan membuahkan hasil. Oleh itu, sebagai pelajar cabaran semasa pandemik Covid-19 ini bukanlah penghalang untuk berjaya pada masa akan datang.

Artikel menarik

UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021, PT3 dibatalkan - Dr Mohd Radzi

'KPM, mohon beri perhatian khas kepada calon SPM dan STPM 2021' - Rayu Cikgu Pe Chey!