KAPAR - Unit beruniform antara kokurikulum terbaik melahirkan pelajar yang cergas fizikal dan mental.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni, Kementerian Pendidikan (KPM), Nazar Mamat berkata, kokurikulum itu dapat membentuk sahsiah pelajar supaya lebih berhemah tinggi, berdisiplin, mempunyai jati diri dan memiliki daya kepimpinan.

“Disiplin yang tinggi adalah resipi kejayaan kerana mereka dapat mencapai kecemerlangan dan kesempurnaan dalam hidup,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan Perdana KRS Peringkat Negeri Selangor 2019 di SK Bukit Ceraka, di sini semalam.

Seramai 274 pelajar sekolah menengah gigih melepasi setiap komponen ujian ditetapkan dalam program empat hari itu.

Beliau berkata, perkhemahan berkenaan turut memperkasakan generasi muda dengan pengisian kelangsungan hidup merangkumi akhlak, emosi serta jasmani.

“Ini adalah matlamat perkhemahan program yang melibatkan pelajar di seluruh negeri bagi membolehkan masing-masing diklasifikasikan Pegawai Waran I atau II," katanya.

Menurut beliau, kekuatan KRS bukan hanya terletak pada cabaran fizikal atau kelantangan suara ketika berkawad sebaliknya aspek dalaman terutama dalam pembinaan sahsiah dan rohani yang menjadi elemen penting dalam setiap kursus kenaikan pangkat.

“Perkhemahan ini diadakan bagi mewujudkan integrasi, kesepaduan dan keakraban antara peserta berbilang kaum dan agama.

“Peserta dapat berkenalan dan bergaul sesama mereka, sekali gus membentuk perpaduan serta keharmonian dalam kalangan peserta,” katanya.

Nazar yang juga Penolong Pengarah KBS Malaysia berkata, perkhemahan itu juga bertujuan mencari pemimpin muda dalam kalangan ahli KRS peringkat negeri.

“Pegawai waran dalam KRS adalah pangkat tertinggi yang pelajar boleh capai dan jawatan ini besar peranannya bagi setiap pasukan.

“Melalui pemimpin pelajar yang berkaliber, berkemahiran, berketrampilan serta berdisiplin diharapkan akan menjadikan unit KRS di sekolah masing-masing dan daerah dapat digerakkan dengan lebih baik,” katanya.

Justeru beliau mahu, perkhemahan seperti itu akan dilaksanakan setiap tahun supaya lebih ramai pelajar mendapat peluang yang sama.

Artikel lain:

Empat beradik selamat, rumah hangus dijilat api

'Cikgu, ice box saya ada khinzir.' - Kerana terpaksa ini yang mereka buat selepas itu

Dua beradik juara seni khat.. warisi bakat bapa

Rahsia nota kecil ditulis pelajar 19 tahun.. cikgu ini kongsi isi nota yang buat hatinya tersentuh

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia