Memohon membina bonggol di hadapan sekolah, mengadakan kempen memakai topi keledar dan kempen menggunakan jejantas antara usaha Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang, Selangor bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya babitkan pelajarnya.

Bagi meningkatkan impak usaha yang dilakukan pihak sekolah sering mengadakan kerjasama dengan Konsortium Expressway Shah Alam Selangor (KESAS) dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mohd Rodzi Abd Rahman, berkata, menerusi kempen keselamatan jalan raya pihak sekolah akan mengingatkan pelajar mengenai bahaya memandutanpa lesen dan perlunya memakai topi keledar.

Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Cawangan Khas Daerah, Zulkamal Md Ariffin memberi taklimat berkenaan undang-undang jalan raya sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan SMK Meru.

"Pihak polis pula akan memberi taklimat apabila ibu bapa hadir ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya diadakan di sekolah," katanya.

Menurut beiau, daripada jumlah 3,800 pelajar sekolah itu, 500 daripada mereka ke sekolah dengan menunggang motosikal.

Dengan jumlah penunggang motosikal yang agak ramai itulah, pihak sekolah melakukan gerakan meningkatkan kesedaran agar pelajar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan menjadi pemandu berhemah.

Cikgu Siti Dinar (tiga dari kiri); Cikgu Mohd Rodzi (kanan) bersama Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh (tengah) ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan SMK Meru.

"Usaha ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan babitkan pelajar SMK Meru dan menyedarkan mereka betapa pentingnya mengambil langkah keselamatan agar nyawa kita dan nyawa orang lain dapat kita selamatkan," katanya.

Bagi memantapkan lagi kesedaran pelajar, setiap kali perhimpunan pagi nasihat berkenaan keselamatan di jalan raya menjadi agenda wajib selain penerapan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) terutama dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik.

Cikgu Mohd Rodzi berkata, bagi memudahkan pelajar, pihak sekolah menyediakan kawasan khas untuk parkir motosikal selain memberi pelekat bagi memudahkan pihak sekolah memantau keluar masuk pelajar.

Sementera itu, Pengetua SMK Meru, Siti Dinar Hamid berkata, menerusi beberapa kempen dan ceramah yang pernah dianjurkan, ia dapat memberikan impak besar kepada pelajar.

“Pelajar mula faham peraturan dan undang-undang jalan raya, misalnya perlu mengambil lesen motor, dan memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

“Selain itu, pelajar juga digalakkan untuk memahami papan tanda keselamatan jalan raya, agar setiap arahan, panduan dan peraturan yang ditetapkan dapat dipatuhi dengan baik,” katanya.

Reaksi

“Mereka ini meletakkan diri dalam risiko, terdedah kepada bahaya dan kemalangan jalan raya. Sama ada disebabkan oleh diri sendiri atau pengguna jalan raya yang lain.” Cikgu Rusla Ariffin, SMK Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan.

“Wajar diberikan pendedahan awal kepada murid bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang mengamalkan budaya selamat, beradab, berhemah dan sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya. Usaha ini bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang berhemah. Malah ia juga merupakan asas dan pemangkin bagi mendukung segala program yang boleh membawa kepada perubahan yang diinginkan iaitu tingkah laku, kemahiran dan sikap pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan.” - Cikgu Muhamad Hairani Ahmad, Guru Penolong Kanan Kokurikukum, SK Taman Seri Kota, Batu Pahat Johor.

 

Info!

Kepentingan keselamatan jalan raya bagi pelajar :

1. Memupuk nilai-nilai baik dan selamat dalam kalangan pelajar ketika berada di jalan raya, untuk keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

2. Mendidik masyarakat pada usia muda supaya berhemah di jalan raya sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Artikel lain:

Sempena cuti Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh buat ini manfaat masa

PM umum Perintah Kawalan Pergerakan tapi cikgu ini pula yang pening

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

'10 topik Sains wajib ulang kaji ketika ini' - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Pengetua SMKA Naim Lilbanat kongsi tip lonjak keputusan SPM 2019 - Boleh jadi panduan sekolah lain