SHAH ALAM - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor merekodkan pelajar yang dijangkiti wabak influenza A meningkat kepada seramai 863 pelajar daripada 278 sekolah di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Mahanom Mat Sam berkata, sehingga jam 9 pagi semalam, Petaling Perdana mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu seramai 231 pelajar daripada 71 buah sekolah.

Menurutnya, Klang pula adalah daerah kedua tertinggi yang merekodkan seramai 154 pelajar melibatkan 55 buah  sekolah, diikuti Petaling Utama membabitkan seramai 113 pelajar daripada 34 buah sekolah.

“Seramai 102 pelajar daripada 21 buah sekolah lagi di daerah Sepang, manakala  Gombak merekodkan seramai 88 pelajar daripada 33 buah sekolah dan Hulu Langat melibatkan seramai 85 pelajar daripada 36 buah sekolah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam. 

Beliau berkata, daerah lain yang terlibat ialah Kuala Langat (27 pelajar daripada  11 buah sekolah), Hulu Selangor (20 pelajar daripada tujuh sekolah), Sabak Bernam (sembilan pelajar daripada empat buah sekolah) dan Kuala Selangor (lapan pelajar daripada enam sekolah).

Namun, katanya, sehingga kini tiada kelas atau sekolah yang ditutup.

“Pihak sekolah dinasihatkan untuk sentiasa mengambil berat dan mengingatkan pelajar supaya sentiasa menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Mahanom berkata, semua kes berkenaan telah menerima rawatan di klinik dan hospital berhampiran dan dilaporkan stabil.

“Mereka diberi cuti rehat dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

“Malah, pesakit yang menerima rawatan di wad dan dipantau di hospital juga ada yang telah dibenarkan pulang,” katanya.

Artikel Menarik:

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Seronok rupanya kaedah ‘Flipped Classroom’ - Untung budak sekarang

Cara ustaz ini ajar Pendidikan Islam buat pelajar benar-benar faham konsep aurat