SHAH ALAM - Keluarga Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin mungkin terpaksa menyambut lebaran di London, United Kingdom (UK) kerana bayi comel yang menderita kanser mulut Germ Cell Tumor itu dijangka menjalani pembedahan di sana.  

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata, dia sekeluarga akan berlepas ke London malam ini untuk membolehkan Ainul Mardhiah yang berusia sembilan bulan mendapatkan rawatan doktor pakar.

“Saya masih tak tahu lagi macam mana perjalanan di sana nanti dan belum boleh tahu tempoh rawatan lagi. Sampai sana nanti baru tahu semuanya.

“Sepanjang rawatan di sana, insya-ALLAH dana yang ada mencukupi, soal tempat tinggal nanti akan diputuskan kemudian.

“Terima kasih rakyat Malaysia, kami sekeluarga sangat terhutang budi dan mendoakan ALLAH lipat gandakan rezeki buat anda semua,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Ahmad Safiuddin, kos rawatan untuk anaknya sudah mencukupi dan setakat ini Ainul dilaporkan sihat walafiat.

“Jika tak cukup nanti di sana, saya akan cuba usahakan. Saya tak mahu susahkan sesiapa lagi. InsyaALLAH ada rezeki kami nanti.

“Yang penting sekarang ini, Ainul dapat dirawat sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Ainul Mardhiah, Kharil Fadzly Rosli turut memaklumkan mereka sekeluarga akan bersama menghantar anak saudaranya ke KLIA.

“Penerbangan berlepas dijangka pada jam 11.30 malam dan kami semua berharap Ainul Mardhiah kuat dan cepat sembuh daripada rawatan di London nanti.

“Mungkin kami tak dapat beraya bersama kerana mereka berada di perantauan tapi yang penting, Ainul dapat dirawat dan sihat.

"Semoga semuanya dipermudahkan dan jika diizinkan ALLAH, Ainul dan sepupunya dapat beraya bersama tahun depan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Safiuddin berkata, usaha membawa Ainul Mardhiah untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di London merupakan satu risiko yang perlu ditanggung.

Namun mereka masih meletakkan harapan yang tinggi agar Ainul Madhiah dapat menjalani kehidupan normal seperti bayi lain.

Penderitaan Ainul Mardhiah yang menghidap penyakit kanser mulut turut menarik perhatian doktor pakar kelahiran Malaysia, Pakar Pelatih Surgikal yang juga bekas pelajar cemerlang SMK Ulu Tiram, Johor Bahru, Dr. Nur Amalina Che Bakri yang berusaha berbincang dengan sekumpulan doktor pakar di UK bagi melakukan pembedahan ke atas bayi perempuan itu.

Susulan laporan mengenai Ainul Mardiah, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk membiayai kos pengangkutan dan penerbangan keluarga itu bagi rawatan pembedahan di UK.          

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr. Amalina gesa orang ramai bantu Ainul Mardhiah segera ke London]

Artikel lain:

'Seorang pelajar Kolej Vokasional maut, 24 lagi cedera' - Polis masih siasat punca

'Menjadi guru bukan pilihanku, namun ALLAH lebih tahu segalanya' - GB SK Beruas

Hujan lebat, guna plastik sampah balut anak - Guru pedalaman ini kongsi kisah sesat dalam hutan

Tahniah! SMK Panji Alam takluk Eropah gondol empat anugerah utama tewaskan pasukan dari 100 negara

Warga SK Taman Cahaya Masai bersyukur semua pelajar selamat ketika kes pembuangan sisa kimia