Shah Alam - Anak kepada penulis skrip 'Andainya Takdir' dan 'Setia Hujung Nyawa' Wan Mahani Wan Hassan antara calon SPM cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 setelah berjaya mendapat 10A daripada 11 mata pelajaran yang diambil.

Wan Mohammad Waliuddin Afzainizam, 17, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik ini bercita-cita ini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

"Tiga hari lepas, masa balik dari Masjid Taman Muda selepas solat Zuhur, saya kemalangan.. jatuh motor, tak sangka hari ni dapat berita menggembirakan, alhamdulillah.

"Kejayaan ini hadiah kepada ibu bapa saya dan ganjaran kepada guru yang mengajar, terima kasih kepada guru SMK Seksyen 18 yang tak pernah jemu membantu," katanya.

Katanya, dia tinggal di asrama dan banyak tuisyen disediakan untuk pelajar yang tinggal di asrama.

"Setiap kali 'exam' saya akan puasa kerana lebih fokus," katanya.

Sementara itu, Wan Mahani berkata, beliau bersyukur dengan kejayaan anaknya dan berharap cita-cita Wan Mohammad Waliuddin tercapai.

"Dah seminggu berdebar, macam saya pula yang nak ambil 'result'.. alhamdulillah walaupun tak dapat 'straight' A, saya bersyukur.

"Dia anak sulung dan memang menjadi harapan keluarga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Mahani berkata, skrip drama bersiri terbaharunya sedang disiarkan RTM bertajuk 'Maryam Eliana' manakala telemovie berjudul '14 hari' akan disiarkan Sabtu ini.

Ini pula kata pengetua SMK Seksyen 18 mengenai pencapaian cemerlang pelajarnya https://www.gpsbestari.com/berita/selangor/smk-seksyen-18-kekal-kelima-terbaik-5-calon-dapat-11a-1.923702