TAMAN NILAM – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Permatang terus prihatin dengan keperluan anak penduduk dan memberi sumbangan menjelang sesi persekolahan tahun depan menerusi program Back To School Dun Permatang 2016.

Penyelaras program, Rozana Zainal Abidin berkata, program tahunan itu sekali lagi memberi kegembiraan kepada 145 penerima yang juga peserta Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

"Tidak lupa 220 anak penduduk yang dipilih dari sekitar Dun Permatang untuk menerima sumbangan keperluan sekolah sekali gus menyemarakkan semangat untuk ke sekolah bagi sesi tahun depan.

"Program ini tradisi PKM Dun Permatang bagi membantu anak penduduk yang kurang berkemampuan dan keluarga memiliki ramai anak. Program berbentuk kebajikan sebegini juga mampu mendekatkan PKM dengan penduduk setempat," katanya.

Program Back To School Dun Permatang adalah sebahagian program tahunan selain Program Jom Shopping dan aktiviti Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) anjuran kerajaan negeri.