SUBANG JAYA - Guru disaran wujudkan persekitaran inovasi dalam menggalakkan pelajar menjadi anggota koperasi sekolah.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh berkata pelajar, guru dan koperasi sekolah adalah instrumen penting untuk menggerakkan pelapis gerakan koperasi negara.

“Guru yang sering dianggap sebagai mentor oleh pelajar ini berupaya memainkan peranan besar dalam membantu gerakan koperasi negara untuk terus maju. Sekaligus memastikan pelajar yang juga anggota koperasi menggerakkan koperasi negara untuk terus cemerlang sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi inklusif negara,”katanya.

“SKM memberikan  tumpuan yang istimewa terhadap koperasi sekolah memandangkan keperluan ini selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan lebih ramai usahawan muda berjaya pada masa hadapan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030,”katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor 5 Disember baru-baru ini.

 Turut Hadir Timbalan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Koperasi Sekolah, Datuk Kamaruddin Ismail, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKM), Ariffin Mamat.

Katanya, koperasi sekolah adalah platform paling tepat, memandangkan penerapan dan pendedahan kepada budaya serta nilai-nilai keusahawanan menerusi koperasi itu dapat membuka ruang dan minda pelajar supaya menjadi lebih kreatif, inovatif, berdaya maju, mampu berdikari dan berupaya mencipta peluang pekerjaan untuk negara.

“Jika koperasi sekolah berjaya, gerakan koperasi juga akan turut berjaya kerana mereka adalah generasi yang akan mewarisi gerakan koperasi negara,”katanya.

Pada masa sama, beliau turut memuji usaha ANGKASA dalam menggerakkan koperasi terutama koperasi sekolah.

“Sejujurnya saya mengkagumi pencapaian gerakan koperasi sekolah pada hari ini, ANGKASA di bawah pimpinan Datuk Abdul Fattah Abdullah telah berjaya membawa koperasi sekolah ke peringkat nasional dan global. Sehinggakan model koperasi sekolah kita menjadi contoh kepada negara lain,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-Operative Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, banyak koperasi sekolah menunjukkan potensi cemerlang dalam perniagaan sehingga perolehan koperasi mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit. Ini bermakna koperasi sekolah berkemampuan berniaga dan menjana perolehan sama seperti koperasi dewasa.

“Kejayaan ini dibuktikan apabila jumlah koperasi sekolah yang mencatat perolehan melebihi RM1 juta telah meningkat kepada sembilan buah sekolah. Ini jelas menunjukkan bahawa koperasi menyokong dan sentiasa menjadi pelengkap kepada kejayaan sekolah dan ekonomi negara,” katanya.

Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) tersebut adalah untuk menghargai dan mengiktiraf koperasi sekolah terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan.

Tahun 2019, sebanyak 34 buah koperasi sekolah telah mara ke peringkat akhir AKKS 2019.

Selain penyampaian Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 Peringkat Kebangsaan, AKKS turut menawarkan Anugerah Khas Kecemerlangan Koperasi Sekolah 2019 Peringkat Kebangsaan.

Koperasi SMK Sultan Badlishah Kulim Kedah Berhad, Kedah mengungguli Anugerah Utama Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 Peringkat Kebangsaan Kategori Sekolah Menengah Kerajaan.

Manakala Koperasi MRSM Batu Pahat Berhad memenangi Anugerah Utama AKKS 2019 Kategori MRSM, dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, berserta piala dan pakej percutian di MyANGKASA Akademi Resort Langkawi.

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain