SHAH ALAM – “Kemenangan ini saya anggap sebagai penyuntik semangat untuk terus transformasikan idea-idea bagi memudahkan pembelajaran murid Pendidikan Khas di dalam kelas,” kata Cikgu Azuriyah Saidin.

Azuriyah menunjukkan plak Pembentang Terbaik yang diterima semasa seminar tersebut baru-baru ini.

Beliau antara tiga guru yang dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik Seminar Amalan Terbaik Pembelajaran dan Pemudahcaraan kategori Pendidikan Khas Negeri Selangor 2019 yang diadakan di Universiti Selangor (Unisel) pada 20 Ogos lalu.

Azuriyah yang pertama kali menyertai seminar berkenaan berkata, kaedah pengajaran ‘checkpoint pengawetan’ diaplikasikan untuk memudahkan murid memahami mata pelajaran Sains, Sosial dan Alam Sekitar.

Katanya, pemilihan kaedah 'checkpoint pengawetan' bertujuan untuk menerangkan secara menyeluruh tajuk pengawetan makanan.

“Murid Pendidikan Khas yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti masalah pembelajaran, autisme dan hyperactive memerlukan pendekatan pengajaran yang berbeza berbanding murid normal lain.

“Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif untuk mencuba satu kaedah baharu yang menekankan kaedah bermain sambil belajar dan berpusatkan murid yang pastinya dapat menarik minat mereka,” katanya.

Menurut beliau, dengan mengaplikasikan kaedah tersebut, objektif pengajaran yang diinginkan  dapat dicapai apabila murid dapat memahami pengajaran dan menonjolkan kebolehan mereka berinteraksi dengan baik.

Dua lagi pemenang kategori Pendidikan Khas ialah Pengetua SMK Seri Keramat, Kamarudin Kudong dengan tajuk pembentangan 'Projek Penghasilan Kemeja-T Corak Jalur Gemilang; Cikgu Wan Any Safrina Mohd Khoiry, SMK Taman Klang Utama ('Kraftangan Berasaskan Manik').

Maizattul Aqilah bergambar bersama  Guru Besar SK Seksyen 6 Kota Damansara, Abdul Manaf Ahmad

Sementara itu, Cikgu Maizattul Aqilah Nordin daripada SK Seksyen 6, Kota Damansara antara tiga guru dinobatkan Pembentang Terbaik kategori Pemulihan Khas dengan tajuk pembentangan  'Penggunaan Board Sentuh, Rasa, Cam (SRC) dalam Membantu Mengenal dan Mengecam Huruf'.

Beliau tidak menyangka akan dipilih sebagai Pembentang Terbaik kerana pertama kali menyertai seminar itu.

Maizattul Aqilah bersyukur kerana ia adalah pengalaman berharga yang cukup bernilai bagi seorang pendidik sepertinya.

Mengulas mengenai idea yang dibentangkan, ia tercetus setelah mendapati ada kalangan muridnya tidak dapat menguasai kemahiran mengenal huruf kecil.

Katanya, jurang kemahiran yang sangat berbeza dengan murid pemulihan lain menyukarkan guru untuk merancang Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas.

Katanya, dalam PdPc terdahulu, murid telah menunjukkan impak positif apabila dapat menulis empat daripada enam huruf yang dipelajari dengan betul apabila guru membimbing mereka menulis di atas karpet.

“Saya merumuskan murid lebih senang mengingati huruf apabila menggunakan kaedah sentuhan. Oleh sebab itu saya inovasikan Board SRC ini.

“Ia adalah berasaskan sentuhan yang mana menggunakan bahan seperti batu, manik, kekacang, pasir kertas bertekstur dan lain-lain lagi.”katanya.

Selepas saya cuba teknik ini, nampaknya banyak kesan positif kepada murid iaitu mereka teruja untuk menggunakan Board SRC dan dapat menguasai kemahiran mengenal huruf.

Dua lagi pemenang kategori Pemulihan Khas ialah Cikgu Itaerdayu Shahidan, SK Bukit Tampoi ('B-Cam'); Cikgu Thavamalar Balakrishnan, SJKT Air Kuning Selatan Negeri Sembilan ('Pendekatan Teknik Mnemonik dalam Bina Ayat Mudah').

Bertemakan Kreativiti Melonjak Inovasi Pendidikan, seminar adalah anjuran Unit Pendidikan Khas, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Selangor dengan kerjasama Unisel.

Seminar ini dihadiri kira-kira 300 peserta kalangan guru Pendidikan Khas dan guru Pemulihan Khas negeri Selangor dan dirasmikan Exco Selangor yang juga ADUN Kota Kemuning, Ganabatirau Veraman.

Tip Menarik:

10 manfaat belajar awal pagi cara Cikgu Shahrul...penting untuk calon UPSR amal

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

Hafal fakta 'buruj' Sains (Kertas 2) UPSR - 11 nota mudah dan contoh soalan untuk calon ulang kaji

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam