KANCHONG DARAT - Seramai 80 anak yatim dan asnaf menerima sumbangan menerusi Program Jom Kembali Ke Sekolah 2017 - Kami Prihatin Anda Ceria di Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting, Selangor.

Program kerjasama 1 Malaysia For You (1M4U) dan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) Kolej Komuniti Kuala Langat itu memberi keceriaan kepada penghuni rumah itu.

Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat, Gazari Osman berkata, selain menerima sumbangan, anak yatim dan asnaf ini juga melakukan aktiviti bersama sukarelawan.

“Kami beranggapan ini adalah program yang unik kerana ia bukan fokus kepada persiapan sekolah semata-mata, malah memberikan keselesaan pada ruang asrama pelajar.

“Dengan adanya sumbangan sebegini, ia sekurang-kurangnya boleh meringankan beban pihak pengurusan Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Solihin,” katanya.

Gazari berkata, walaupun sumbangan tersebut tidak seberapa, namun ia amat bermakna dan besar ertinya untuk penghuni rumah tersebut bagi meneruskan kehidupan seharian.

Katanya, objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pelajar dan staf kolej komuniti dengan semua penghuni rumah tersebut selain memupuk budaya beramal dalam kalangan
masyarakat

“Ia juga sebagai memenuhi tanggungjawab sosial yang dapat mendidik dan muhasabah diri dalam kalangan pelajar dan staf kolej komuniti dengan masyarakat luar yang susah dan kurang berupaya,” katanya.