KUALA KUBU BHARU - Pelajar Syukbah Qiraat Darul Quran Jakim julang nama negara apabila merangkul dua  kejuaraan pertandingan hafazan al-Quran peringkat Asean tahun lalu.

Pelajar tahun akhir Diploma Tahfiz Al-Quran dan  Qiraat, Ahmad Luqman Ahmad Zaini, 20, dinobatkan johan The Annual Prince Sultan Bin Abdul Aziz Competition on The Memorization of Quran and Sunnah for ASEAN and Pacific Countries bagi kategori 1 hingga 10 juzuk pada Mac.

Ahmad Luqman menewaskan 70 peserta dari 14  negara yang mengambil bahagian  pada pertandingan itu di Jakarta, Indonesia.

Dia mewakili negara selepas  menjuarai Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat  Kebangsaan bagi kategori 1 hingga 10 juzuk dengan johan di peringkat negeri Melaka.

Ahmad Luqman juga pernah mewakili negara dalam  acara tilawah serta hafazan  di 13th Edition of King Mohammed IV International Award For The Holy Quran Memorization, Recitation and Interpretation di Maghribi, November 2017.

Pada November 2018,  sekali lagi muncul johan pada Pertandingan Musabaqah  Hifzhil Quran Tingkat ASEAN 2018 bagi kategori 1 hingga 15 juzuk yang  berlangsung Jakarta, Indonesia.

Menurutnya, dia mula menghafaz al-Quran ketika belajar di Maktab Rendah  Sains Mara (MRSM) Gemencheh,  Negeri Sembilan di bawah bimbingan guru dikenali sebagai Ustaz Firdaus.

“Bermula dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan  Lima sebelum berjaya hafaz kesemua 30 juzuk serta kali  pertama memasuki pertandingan peringkat Negeri Sembilan dinobatkan sebagai johan.

“Tapi saya tidak menang apabila ke peringkat kebangsaan dan tamat di MRSM, saya melanjutkan ke Darul Quran Jakim Kuala Kubu Bharu.

“Di sini saya memperkemaskan lagi hafazan dan bacaan  dan esok (hari ini), saya akan menyertai pertandingan sama bagi peringkat Wilayah Persekutuan untuk  tahun ini,” katanya.

Ahmad Luqman antara 243 pelajar yang menjayakan  Majlis Khatam Al-Quran Pelajar Program Diploma  Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat 2019 di Darul Quran Jakim itu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia akan mengulangi hafazan dengan tiga juzuk setiap hari pada sebelah pagi dan malam yang dipraktikkan sejak
tingkatan satu.

Menurutnya, hafazan memerlukan seseorang itu  istiqamah dan memperbaiki kualiti bacaan termasuk  tajwid.

“Doakan saya berjaya  mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah selepas  tamat pengajian nanti,” katanya.