Ramai beranggapan bahawa jurusan filem adalah satu kursus yang tidak mendatangkan manfaat kepada masa depan para pelajar malah tidak kurang juga yang berpendapat ia adalah satu bidang yang tidak dipandang umum. 

Ada juga yang membandingkan jurusan filem ini dengan kursus-kursus hebat seperti perundangan, kedoktoran, perguruan, kejuruteraan dan sebagainya. 

Fenomena ini menjadi satu tamparan hebat buat penuntut-penuntut di bahagian perfileman kerana terpaksa menelan kata-kata negatif sedemikian.

Terdapat di antara mereka yang terpinggir, berdepan dengan dilema sama ada ingin berhenti belajar atau meneruskan pengajiannya. Tekanan dihadapi ini sangat memberikan impak kepada pemikiran para pelajar yang mengharapkan pekerjaan terbaik selepas menamatkan pengajian.

Mengupas isu ini, GPS Bestari telah menemu bual seorang bekas pelajar dari Fakulti Filem Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor, Nur Syafiqah Anuar.

Gadis manis yang merupakan graduan dalam bidang penulisan kreatif di fakulti tersebut berkata, beliau tidak pernah beranggapan bahawa bidang filem adalah bidang yang tiada masa depan. 

"Belajar filem ini cabangnya luas. Cuma perspektif masyarakat saja yang berpendapat jurusan filem ini tiada masa depan kerana beranggapan seolah-olah bidang ini cuma berkaitan subjek 'seni' semata-mata.

"Masyarakat beranggapan sebegitu kerana mereka tidak terdedah dengan apa yang diterapkan dalam bidang tersebut. Kekurangan maklumat membuatkan mereka menyatakan pendapat berdasarkan andaian dari mata kasar semata-mata," kata Nur Syafiqah.

Menurut Nur Syafiqah, jurusan penulisan kreatif seperti yang diikuti sebelum ini bukan saja mendedahkan pelajar mengenai penulisan skrip tetapi juga membabitkan penulisan berita, artikel, novel, cerpen dan sebagainya. 

"Kalau cakap pasal filem pula, bukan tertumpu pada filem sahaja tapi kami turut membuat kajian mengenai aspek undang-undang, lirik, psikologi, sastera dan sebagainya.

"Oleh itu, saya berpendapat bahawa bidang perfileman memberi banyak faedah kepada para pelajar mengenai cabang ilmu yang lain dan di sini jelas menunjukkan persepsi masyarakat terhadap perfileman adalah tidak benar," katanya lagi.

Mengulas mengenai penilaian masyarakat terhadap graduan jurusan perfileman dalam dunia pekerjaan, Nur Syafiqah berkata, adalah mustahil jika dikatakan tiada peluang pekerjaan menanti terutamanya bagi bidang penulisan. 

"Kerja pemasaran perlukan copywriter yang memerlukan kepakaran membabitkan penulisan malah pekerjaan ini menjadi antara kerjaya yang paling banyak permintaan di pasaran. 

"Tidak dinafikan pada zaman yang serba canggih ini, banyak pekerjaan sudah diganti dengan robot, mesin dan sebagainya tetapi bagi industri kreatif, ia tidak boleh digantikan dengan kepakaran robot kerana memerlukan minda untuk menjana idea kreatif berkenaan," katanya.

Nur Syafiqah berkata, bidang filem adalah satu bidang yang menarik kerana proses pembelajaran berlaku secara santai di mana para pelajar perlu menonton filem, teater dan sebagainya sebagai bahan tugasan yang akan dilakukan. 

Katanya, proses pembelajaran itu menjelaskan bahawa bidang filem bukanlah sekadar belajar di dalam kelas semata-mata sebaliknya para pelajar turut didedahkan secara praktikal mengenai dunia perfileman.

"Kalau nak putus asa belajar, pelajar filem akan dibandingkan. Mereka akan cakap belajar filem bukan susah macam belajar jurusan perubatan. 

"Oleh itu, individu yang melibatkan diri dalam dunia perfileman perlu mempersiapkan mental dan fizikal bagi menghadapi setiap tanggapan orang sekeliling dengan menjadikan kata-kata tersebut sebagai pendorong untuk terus berjaya," katanya lagi.

Walaupun pelajar seni sering dianggap sebagai kurang cerdik berbanding pelajar-pelajar sains, namun Nur Syafiqah terpaksa akur kerana masyarakat tidak akan pernah berhenti menilai. 

Bagi beliau, setiap kata-kata negatif itu bukanlah penghalang untuk para pelajar perfileman maju ke hadapan kerana setiap bidang mempunyai kelebihan yang tersendiri dan usaha serta kegigihan merupakan kunci kejayaan seseorang.  

"Saya tidak pernah menjadikan kata-kata itu sebagai satu penghinaan namun setiap tanggapan negatif itu dijadikan sebagai pembakar semangat. Tanpa kata-kata tersebut dunia industri tidak akan maju sehingga ke hari ini," katanya.

Artikel menarik