MEMPERTARUHKAN tarian etnik Sarawak, Antarane Jiwa dan Silat Terinai, Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur(SSEMKL) mengharumkan nama negara apabila merangkul tiga emas pada Pertandingan dan Festival Seni Antarabangsa 'The Place of Holiday' 2019 di Cost Brava, Spain.

Pasukan SSEMKL mendahului 20 pasukan dari lapan buah negara iaitu Spain, Latria, Iran, Austria, Ukraine, Cuba, Croation dan Georgia dengan kutipan markah tertinggi menerusi persembahan tarian beraksi dalam tiga kategori iaitu,  Solo; Duet dan Ensemble yang berlangsung  pada 2 November lalu.

Guru pembimbing, Mimie Syafinie Mohd Samsudin, berkata, pasukan negara merangkul pingat emas dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingan dan itu satu pencapaian yang amat membanggakan kerana saingan sangat hebat.

"Selaku johan, pasukan kami menerima piala dan Diploma Pertandingan dan Festival Seni Antarabangsa 'The Place of Holiday' 2019 pada pertandingan anjuran European Association Folklore Festival.

"Persaingan pasukan lain cukup sengit malah kami memang tidak jangka dapat merangkul pingat emas pada ketiga-tiga kategori itu, ini kejutan yang luar biasa," katanya kepada GPS Bestari.

Kata beliau, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk menyertai peringkat antarabangsa agar pelajar mendapat pendedahan bersaing dengan pasukan dari negara lain.

 "Dengan saingan pelbagai negara ini kita dapat mengetahui di kedudukan pelajar di peringkat dunia selain dapat memperbaiki persembahan pasukan dengan melihat apa yang pasukan negara lain buat," katanya.

Beliau yang juga guru Seni Tari berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) juga turut memberi sumbangan kewangan bagi membolehkan SSEMKL dapat mara ke peringkat antarabangsa.

Seorang lagi guru pembimbing, Mahyudin Mamat berkata, persembahan untuk pertandingan itu sebenarnya sangat mencabar kerana pelajar perlu menari sambil menggunakan prop.

"Apabila menari dengan prop pergerakan kena seiring dengan langkah yang laju dan ini memerlukan fokus dan latihan yang mantap.

Aksi gaya tarian koreografi berkumpulan yang bertajuk Silat Terinai yang menggabungkan gerakan silat dan tarian klasik terinai.

"Saya dapati pelajar perlu memberi tumpuan penuh sepanjang tempoh kerana penggunaan props yang pelbagai memang sukar selain perlu membuat pergerakan yang seiring dan tangkas," katanya.

Menurut beliau yang juga seorang guru Sains, tiada rahsia lain untuk memenangi pertandingan itu cuma pelajar perlu berlatih secara konsisten.

"Kami mengambil masa dua minggu untuk mengadakan latihan sebelum terbang ke Spain bagi menyertai pertandingan, setiap hari pelajar memperuntukkan dua jam pada waktu petang dan dua jam, malam untuk berlatih di bawah bimbingan Cikgu Mimie Syafinie," katanya.

Sementara itu, Pengetua SSEMKL Suriyani Ab Ghani bangga dan terharu dengan kemenangan pelajar yang berjaya mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

Gandingan mantap Nur Amirah dan Muhammad Aniq Zafran ketika menarikan Antarane Jiwa dengan iringan lagu 'Hatinya Tak Tahan'nyanyian Noraniza Idris.

Aksi Muhammad Hazwan ketika menarikan tarian etnik Sarawak yang berjaya mdapat johan dalam Kategori Solo.

"Tahniah saya ucapkan kepada peserta dan guru terlibat atas kemenangan membawa nama sekolah hingga ke persada dunia sekali gus mengharumkan nama Malaysia, saya harap selepas ini pelajar SSEMKL lebih menonjol dalam bidang kesenian supaya dapat mencipta nama dalam pelbagai pertandingan sekali gus berpotensi ke peringkat yang lebih tinggi lagi," ujarnya.

Reaksi:

"Saya berasa amat bangga kerana SSEMKL dinobat johan bagi kategori duet bersama Aniq Zafran, 15. Pergorbanan kami secara mental dan fizikal melakukan latihan secara intensif  kini berbaloi."

Nur Amirah Norhisan
Tingkatan Empat
Sekolah Seni Malaysia, KL

 "Saya bangga dapat mewakili negara dan mendapat johan mengalahkan pasukan dari sembilan negara lain. Tanpa usaha gigih, kejayaan ini tidak akan terhasil."

Sharifah Nur Adila Asikin Syed Putra Halhat
Tingkatan Empat
Sekolah Seni Malaysia, KL

"Ketika pertandingan saya berasa agak tertekan kerana mewakili negara dalam kategori solo. Saya perlu bergerak sendiri dengan bimbingan Cikgu Mimie Syafinie. Namun saya bangga akhirnya mendapat johan. Cabaran utama adalah cuaca yang sangat sejuk dan lokasi pertandingan adalah di kawasan terbuka, di tepi pantai Lloret De Mar, Costa Brava, Spain."

Muhammad Hazwan Nor Rosidan
Tingkatan Dua
Sekolah Seni Malaysia, KL

"Saya amat terkejut, tidak sangka mendapat anugerah ini kerana pasukan daripada negara lain semuanya hebat."

Nur Aleeya Syamimie Roszaiful
Tingkatan Empat
Sekolah Seni Malaysia, KL

INFO:

Senarai Pelajar SSEMKL yang menyertai pertandingan di Spain:

1. Muhammad Khairul Nizam Mohd Yunos (Kategori Koreografi Ensemble)
2. Muhammad Fareez Haikal Mohd Norazmi
3. Zahiratul Afiqah Zaenal Abidin
4. Sharifah Nur Adila Asikin Syed Putra Halhat
5. Nur Aleeya Syamimie Roszaiful
6. Nuryn Nadia Mohd Nazri
7. Mohamad Hazwan Nor Rosidan (Kategori Solo)
8. Nur Amirah Muhammad Norhisan (Kategori Duet)
9. Muhammad Aniq Zafran Noor Aznizar

Pencapaian:

1. Pertandingan Tugu Budaya Etnik Sabah ke-10

  • Anugerah Perbadanan Pinjaman Sabah (Tempat Ke-5)
  •  Anugerah Penari Lelaki Terbaik

2. Pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019

  • Anugerah Koreografi Terbaik

3. Malaysia International Festival and Arts Melaka 2019

  • Anugerah Koreografi Terbaik
  • Anugerah Intruktor Terbaik

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya