SHAH ALAM: Bidang pendidikan tetap menjadi pilihan pertama bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam membuat permohonan kemasukan ke universiti bagi sesi 2020-2021.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin, berkata Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang ditawarkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah program pilihan pertama yang paling banyak dimohon oleh pemohon lepasan SPM.

Katanya, program kedua yang paling banyak mendapat permohonan untuk lepasan SPM ialah Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan, ketiga pula Diploma Sains Komputer, Diploma Perakaunan (keempat) dan Diploma Seni Kulinari (kelima).

"Perkara sama turut berlaku bagi pemohon lepasan STPM/Matrikulasi/Diploma apabila lima pilihan teratas adalah program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang ditawarkan di UPSI dan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Program berkenaan ialah Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Sastera Dengan Pendidikan (Kepujian) (Bahasa Malaysia/Geografi / Sejarah), Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) Dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) Dengan Kepujian," katanya.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bual Bestari terbitan Sinar Harian baru-baru ini yang membincangkan apakah langkah seterusnya yang perlu dibuat oleh pemohon selepas permohonan UPUOnline ditutup pada 7 April lalu.

Mengulas lanjut mengenai proses berikutnya dalam permohonan UPUOnline, Wahi berkata, memandangkan permohonan pada kali ini sedikit berbeza kerana dibuat tanpa keputusan peperiksaan sebenar, pemohon perlu mengemaskini permohonan masing-masing dalam tempoh lima hari selepas keputusan peperiksaan sebenar diumumkan.

"Pemohon perlu memasukkan keputusan sebenar mereka untuk melihat program yang dipohon itu menepati syarat ditetapkan atau tidak. Jika layak, program kekal dalam pilihan, jika tidak layak program akan digugurkan daripada pilihan dan mereka perlu memilih program lain yang menepati kelayakan ditetapkan.

"Saya sarankan kepada pemohon supaya membuat pilihan program yang tepat berdasarkan keputusan masing-masing dan jumlah merit yang ditetapkan supaya peluang untuk mendapat tawaran lebih cerah berbanding program yang mempunyai banyak persaingan," kata beliau.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Menurut Wahi lagi, bagi permohonan untuk lepasan STPM/Matrikulasi/Diploma, proses pengemaskini akan dibuka pada 9 hingga 12 Ogos 2021, iaitu lebih kurang empat hari tempoh untuk kemas kini.

"Pesanan saya, pastikan pemohon semua melayari laman web universiti yang calon mohon untuk program temuduga kerana universiti akan paparkan senarai calon temuduga dalam laman web universiti itu sendiri.

"Contohnya program Diploma Senibina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang memerlukan temuduga, mereka perlu rujuk laman web universiti berkenaan, buat semakan dengan nombor kad pengenalan untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak ditemuduga," katanya lagi.

Artikel menarik

Kembali kepada PdPR. Guru dan murid akan belajar dari rumah 2 minggu selepas cuti Aidilfitri

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti