Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia tentunya memberi pelbagai cabaran dan kekangan yang perlu ditempuhi semua termasuk golongan pelajar.

Pembelajaran bersemuka di sekolah yang kebiasaannya dilalui digantikan pula dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika ini.

Persekitaran norma baharu ini diakui memberi cabaran tersendiri kepada pelajar terutama bagi mereka yang akan menempuhi peperiksaan penting.

Dua pelajar dari Beaconhouse Sri Inai International School, Petaling Jaya iaitu Yashodini A/P Andy Easwaren dan Jun Rain Lim De Jin, baru-baru ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang ‘straight A’s’ untuk peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang mereka duduki pada tahun lalu.

Lebih manis lagi, kedua-dua pelajar ini memperoleh kepujian tertinggi dan merupakan antara 16 pelajar sekolah swasta tersebut yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Berkongsi kejayaan tersebut, Yashodini berkata, beliau sentiasa berusaha untuk mengekalkan keputusan cemerlang dalam pelajaran di samping mengakui 2020 adalah tahun mencabar baginya.

“Pengalaman belajar dari rumah adalah suasana baru untuk saya dan ia bukanlah sesuatu yang mudah, justeru saya amat gembira kerana masih kekalkan pencapaian ini selain dapat membanggakan keluarga dan sekolah,” katanya.

Sebelum ini, Yashodini telah meraih lebih 35 anugerah sepanjang pembelajarannya di Beaconhouse Sri Inai International School.

Antaranya seperti anugerah emas di The Queen’s Commonwealth Essay Competition 2019 dan anugerah emas di East Asia Maths Ninja Challenge 2019.

Sementara itu, Jun Rain pula berkata, beliau menghargai sokongan keluarga dan tenaga pengajar yang banyak membantunya mencapai kejayaan dalam akademik.

“Saya tidak sabar melalui fasa seterusnya dalam hidup dan berharap keputusan ini akan memberi peluang lebih cerah untuk saya pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, menerusi keputusan cemerlang ini, Yashodini dan Jun Rain juga berpeluang dianugerahkan pencapaian 2021 Outstanding Cambridge Learners Awards yang bakal diumumkan pada bulan Mac ini.

Lebih sejuta pelajar dari seluruh dunia menduduki peperiksaan Cambridge IGSCE ini termasuk penuntut di Malaysia pada tahun lalu.

Semoga kejayaan kedua-dua insan hebat ini dapat menyuntik semangat pelajar lain untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kecemerlangan membanggakan.

 

Sumber: Portal remaja.my