BESTARI JAYA - Persidangan Tranformasi dan Inovasi sekolah Awam 2019 (CPSTI 2019) yang berakhir hari ini merumuskan 12 resolusi, bagi menyediakan pelajar bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Pengerusi bersama CPSTI 2019, Putri Roslawati Hashim berkata resolusi dicapai dalam persidangan berkenaan termasuk membina upaya dan menukar perspektif kaedah pengajaran guru, dengan pelaksanaan pendekatan multimedia dan penguasaan kemahiran pedagogi abad ke-21, secara berterusan melalui perkongsian pintar.

"Resolusi yang lain adalah memperkukuhkan sistem pengurusan sekolah, dengan pembudayaan pembelajaran abad ke-21, yang berinovasi bagi membentuk persekitaran yang positif dalam kalangan warga sekolah.

"Resolusi seterusnya adalah membangunkan kapasiti kepimpinan murid yang berintegriti, dinamik dan mempunyai jati diri yang tinggi, dengan kerjasama agensi luar, selaras dengan aspirasi negara, dan memperkukuhkan nilai cintakan alam sekitar dalam kalangan murid, melalui pembudayaan penggunaan bahan kitar semula dalam inovasi," katanya di majlis penutup CPSTI 2019 di sini kelmarin.

Sementara itu seorang lagi pengerusi bersama CPSTI 2019, Haniza Mohd Jabar berkata pihaknya akan membawa resolusi yang dicapai dalam persidangan berkenaan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat untuk dibincangkan.

Katanya resolusi berkenaan yang menyentuh isu inovasi dan kemenjadian murid merupakan asas kepada kerajaan, untuk membina pelajar yang berkeyakinan dan holistik yang mampu memacu negara di masa hadapan.

Majlis penutup itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Mohd Khairuddin Othman.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

CPSTI 2019 yang berlangsung selama dua hari sejak semalam di Universiti Selangor di sini, bertujuan meningkatkan kualiti guru ke arah kemenjadian murid, selaras dengan objektif Program Tranformasi sekolah 2025 dan sekolah Amanah seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Persidangan itu juga bertujuan berkongsi idea, pengalaman, pengetahuan dan maklumat tentang pelbagai inovasi terkini dalam aspek pengajaran dan juga pembelajaran, melalui jalinan dan jaringan dengan ibu bapa dan pensyarah serta mahasiswa universiti tempatan dan luar negara. - Bernama

Artikel lain:

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid Tahun Enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Teknik belajar 'last minute' yang patut pelajar tahu...tapi jangan amalkan selalu tau

'Tetap serius dan tegas ketika mengajar walaupun berwajah 'baby face' - Cikgu Ian Francis Manga