BERMULA dengan melihat inisiatif sekolah lain membuat kebajikan untuk pelajar, Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai  Buloh, Selangor ini tercetus idea untuk melaksanakan Program PEKASIH.

Beliau yang juga penyelaras Program Amalan Guru Penyayang SMK Saujana Utama 2020, Noor Haslina Rozali berkata, ia bermula daripada Projek Hamper di SMK Taman Sea yang diadakan setahun sekali.

"Daripada itu, saya berpendapat elok juga dilaksanakan di sekolah kami untuk kebajikan pelajar dan dilaksanakan sepanjang tahun dengan menggunakan nama Bakul Rezeki," katanya.

Kata beliau, program tersebut pertama kali dilaksanakan secara menyeluruh dan mendapat sokongan padu Pengetua, Noor Hayati Embong.

Sebelum ini hanya bantuan ketika musim perayaan sahaja diwujudkan pihak sekolah yang dikenal dengan nama ringkasnya SUTAMA ini.

"Program PEKASIH adalah inisiatif kaunselor SUTAMA di bawah kluster Program Amalan Guru Penyayang. Ia adalah akronim Prihatin dan Kasih.

"Dana dikumpul daripada hasil sumbangan pelajar, guru dan ibu bapa untuk digunakan bagi membantu meringankan beban pelajar asnaf mahupun mereka yang ditimpa ujian seperti ayah diberhentikan kerja, sakit kronik dan lain-lain," katanya.

Cikgu Noor Haslina berkata, buat masa ini sumbangan yang diberikan berupa barangan dapur seperti beras, tepung, gula, biskut, minyak, sos dan sebagainya.

Beliau memberitahu, penyerahan pertama dibuat pada 28 Febuari lalu, iaitu setelah dua minggu program diwujudkan dengan seramai 20 keluarga mendapat manfaat.

Sementara itu, Noor Hayati mengakui Program PEKASIH itu sesuatu yang baru berkenaan kebajikan dan amal yang dilaksanakan atas dasar 'kasih sesama insan'.

"Ia adalah sebahagian daripada Program Amalan Guru Penyayang yang telah dijalankan saban tahun bagi memupuk nilai insaniah yang murni dalam kalangan pelajar kami.

"Program sebegini menanam sifat suka membantu, empati, bertanggungjawab dan prihatin terhadap golongan yang tidak bernasib baik dalam komuniti SUTAMA dan masyarakat setempat," katanya.

Kata beliau lagi, sudah menjadi hasrat pihak sekolah untuk mendedahkan pelajar kepada permasalahan masyarakat yang meliputi soal kebajikan, kekeluargaan, sosial dan kesihatan.

"Kami juga mahu menyemai dan menanam kecenderungan kesukarelawanan dalam kalangan pelajar, iaitu untuk terlibat dalam aktiviti amal yang tidak mengharapkan balasan serta keuntungan.

"Moga ia menjadi satu program yang memberi impak besar dan boleh mengangkat nama SUTAMA sebagai sebuah institusi yang mampu melahirkan pelajar berwibawa dan bertanggung jawab serta peka pada permasalahan masyarakat," katanya.

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai

Bina animasi guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik Cikgu Fazli BioSensei

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Hafal dalam masa sehari sepanjang rtempoh PKP,  murid pasti mahir sifir 1 hingga 12

Praktis rutin asas pendidikan digital