Pengerusi Pertubuhan Pejuang Perlembagaan dan Rukun Negara, Dato' Hj Abu Backer Sidek , menyeru semua pihak terutamanya pihak sekolah supaya dapat menanamkan kecintaan kepada negara dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata, rasa cinta kepada tanah air sangat penting bagi memastikan  masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini dapat hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

"Penghayatan dan pemahaman terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara harus dilakukan dalam kalangan semua pelajar tanpa mengira jenis sekolah mahupun peringkat usia.

"Pelajar hari ini terdedah dengan pelbagai kemodenan terutamanya dari segi kecanggihan teknologi maklumat yang boleh membuatkan mereka leka dan lupa kepada keistimewaan yang ada pada bangsa mereka sendiri," katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2020 yang diadakan di Sekolah Integerasi Masjid Darul Ehsan, di sini .

Tambahnya, ramai yang terlalu fanatik dengan budaya luar hingga ada yang tidak tahu asal usul Malaysia apatah lagi untuk memahami apa itu Rukun Negara.

"Justeru, Pertubuhan kami sedang mengerakkan kempen ke arah penghayatan prinsip prinsip  Rukun Negara yang memberi tumpuan di pringkat sekolah, dan Universiti awam dan swasta di negara ini" katanya.

Jelasnya, terpanggil mengenai perkara itu pihaknya sedang mengatur pelbagai program bagi menyemarakkan semangat cintakan Negara dan hidup dalam suasana aman, berkerjasama dan harmoni dlm masyarakat Malaysia yg majmuk dan unik.

"Kami sedang atur dan kami mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat korporat di negara ini, untuk bersama-sama kita memartabatkan  dan mengamalkan prinsip Rukun Negara ini dalam kehidupan seharian.

"Pertubuhan kami sangat  serius dalam usaha ini, apatah lagi apabila kita dapati tidak ramai rakyat Malaysia yang tahu mengapa Rukun Negara itu dibuat dan apakah matlamat yang ingin dicapai menerusi lima prinsip digariskan itu," katanya.

Sementara itu, sambutan yang disertai hampir 1,000 murid sekolah rendah dan menengah dan 100 orang guru itu juga turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian.

Antaranya persembahan nyanyian nasyid daripada kumpulan nasyid tersohor tanah air Hijjaz.

Selain program Bicara Santai mengenai 'Rukun Negara Teras Keharmonian Malaysia' yang melibatkan panel hebat antaranya, daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaya dan bekas Ahli Dewan Negara Prof Datuk Dr Firdaus Hj Abdullah dan pendakwah bebas Datuk Hj Mohd Zawawi Yusoh serta bekas CEO Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dato ' Abdul Manap Bin Abd Wahab.

Dalam pada itu, Prof Datuk Dr  Firdaus Abdullah juga menyampaikan sajak patriotik berkisar Rukun Negara. Acara diakhiri dengan persembahan dan bacaan ikrar Rukun Negara oleh ketua pelajar.