SEPANG - Dua murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Seri Putra berjaya mengharumkan  nama sekolah dalam kejohanan 1st Pencak Silat Invitational Games 2017 di Singapura pada 29 dan 30 April lalu.

Guru Penasihat Kelab Pesilat Cilik sekolah berkenaan, Saidatul Mardiah Idris berkata, Irdina Zulaika Muhamad Yusuf, 10, dan Muhammad Faris Irfan Mohd Farhan, 11, yang merupakan ahli Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia sekolah itu masing-masing berjaya membawa pulang pingat perak dan gangsa.

“Mereka telah harumkan nama SRA Bandar Seri Putra di persada antarabangsa dan pihak sekolah harap semoga mereka terus berusaha tingkatkan lagi pencapaian pada masa akan datang.

“Saya nampak mereka mampu jadi contoh dan ikon kepada murid-murid lain di sini kerana keseimbangan mereka dalam bidang pendidikan dan sukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan 1, Azhari Sulaiman yang turut mengulas kejayaan itu bersyukur kerana sekolah berkenaan sudah mula dikenali berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam bidang kokurikulum.

“Usaha ini akan kami teruskan dalam melahirkan murid yang proaktif dalam kedua-dua bidang.

“SRA Bandar Seri Putra kini mempunyai lima kelab yang berdaftar. “Penyertaannya juga melibatkan murid darjah satu hingga enam yang berminat dalam setiap kelab tersebut termasuklah Kelab Pesilat Cilik, Kelab Kompang, Kelab Memanah Mumtaz, Kelab Futsal / Syoknya Bola, Kelab 3K dan Kelab Skim Pinjaman Buku Teks SRA Bandar Seri Putra,” katanya.