MENERIMA tetamu kehormat dari negara matahari terbit tentunya memberi pengalaman baharu kepada murid Tahun Satu, Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Shah Alam.

Apatah lagi tetamu tersebut ialah Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka turut duduk di dalam kelas bersama murid lain mengikuti sesi pembelajaran.

Sifatnya yang ramah menegur murid di kiri dan kanannya mencuit hati para guru yang mengiring sesi kunjungan itu.

Begitulah antara aktiviti ketika SRAI Seksyen 19 menerima kunjungan Hiroshi yang diiringi pegawai Kedutaan Jepun, Takuya Takahira pada 27 Februari lalu.

Lawatan tersebut merupakan kunjungan balas rentetan daripada lawatan guru agama Selangor dan Negeri Sembilan yang ditaja Kementerian Luar Jepun dan diuruskan pihak Sekretariat Universiti Utara Malaysia (UUM).

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Muhamad Badrul Arshad berkata, pelbagai aktiviti disediakan SRAI Seksyen 19 bagi menyambut rombongan dari Kedutaan Jepun.

“Rombongan dari Kedutaan Jepun dibawa melawat ke kelas untuk melihat sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP).

“Pelawat dibawa melihat fasiliti sekolah dan melihat aktiviti ‘familiarization’ yang dilaksanakan peserta terlibat dalam  Program Lawatan Guru-guru Agama ke Jepun,” katanya.

Cikgu Muhamad Badrul

Kata beliau, sepanjang lawatan itu banyak yang beliau pelajari.

"Di Jepun, kebersihan, ketepatan masa, menghargai dan memanfaatkan masa, menjaga ketenteraman awam seperti tidak membuat bising di tempat awam dan di dalam pengangkutan awam sangat diutamakan," katanya.

Menurut beliau, masyarakat Jepun mengamalkan budaya beratur dan tidak berebut-rebut selain sangat mengutamakan kesihatan

"Mereka sangat rajin bersenam dan menjaga pemakanan," katanya.

Turut hadir Ketua Sektor Pentadbiran Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Dr Mohd Kamal Radiman; Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Ustaz Mohd Ja’afar Komari dan Penolong Pengarah Unit Kafa, Perhubungan dan Data, Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Ustaz Abdul Basir Anuar.

Sementara itu, Guru Besar SRAI Seksyen 19, Filzah Mohd Nor berkata, program lawatan Duta Besar Jepun memberi impak yang besar terhadap semangat untuk menceriakan premis sekolah dan memotivasikan murid serta guru untuk mengekalkan kebersihan selain keceriaan sekolah agar sentiasa indah, bersih dan teratur.

“Saya berharap pembudayaan 'amal khair' di sekolah ini dapat memberi kesan yang positif kepada guru, murid dan masyarakat,” katanya.

Cikgu Filzah

Pada kunjungan itu, Hiroshi turut merasmikan Program Amal Khair SRAI Seksyen 19 yang diadakan bertujuan mengajak warga sekolah membuat kebaikan.

Filzah berkata, salah satu program dalam Amal Khair ialah 'The Power of 10 Cent' di mana setiap kelas dibekalkan satu tabung untuk guru dan murid menyumbang.

"Hasil sumbangan daripada tabung 'The Power of 10 Cent' akan digunakan untuk membaiki atau membuat sesuatu yang mendatangkan faedah kepada semua warga sekolah," katanya.

Terdahulu, seramai 10 guru agama dari Selangor dan Negeri Sembilan telah mengikuti Program Lawatan Guru-guru Agama ke Jepun selama 10 hari bermula 29 September tahun lalu.

Program pertukaran berkenaan bertujuan mendalami persefahaman antara Malaysia dan Jepun.

Rombongan dari Malaysia berpeluang melawat sekolah di Jepun, di mana kurikulum Pendidikan Pembangunan Mampan diamalkan.

Ketika sesi lawatan, guru turut menyertai 'Internasional Dialogue on Civilization and Tolerance Among Religious 2019' yang diadakan pihak penganjur.

Dialog berkenaan meliputi cabaran yang dihadapi pemimpin agama dan pendidik profesional dalam mempromosikan keamanan, toleransi serta kepelbagaian dalam masyarakat.

Sepanjang program, peserta diberi peluang untuk tinggal bersama keluarga angkat di Jepun bagi memahami kehidupan, amalan dan budaya masyarakat matahari terbit itu.

Hiroshi menandatangani plak bagi merasmikan Program Amal Khair SRAI Seksyen 19.

Hiroshi (duduk, tengah) bersama pegawai dari Kedutaan Jepun ke Malaysia dan guru SRAI Seksyen 19 ketika berkunjung ke sekolah itu.

Dari kiri: Filzah; Dr Mohd Kamal; Hiroshi; Mohd Ja’afar; Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Solekhan Raof; Ustaz Abdul Basir dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRAI Seksyen 19, Taqiuddin Amini Abdul Satar.

Artikel menarik:

Tolong ingat pesan ini jika kita ada lebih

Kerja rumah digital.. Teknologi itu memudahkan, bukan menyulitkan

'Saya rasa berdosa murid saya pedalaman, tiada akses talian telefon, internet' - Remuk hati guru ini