DENGKIL – Dalam menyahut cabaran norma baharu ketika dunia masih berada dalam keadaan pandemik, Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menganjurkan Festival UiTM Perform secara atas talian pada 12 hingga 14 Mac 2021 yang lepas bagi mempromosikan program ijazah sarjana muda di universiti berkenaan kepada pelajar-pelajar Asasi dan juga orang awam.

Festival yang buat julung kalinya diadakan secara atas talian itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UiTM (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts Dr Roziah Mohd Janor, festival ini telah diadakan secara atas talian buat julung kalinya.

Festival UiTM Perform yang merupakan acara tahunan anjuran Pusat Asasi UiTM disertai 26 fakulti dari seluruh UiTM termasuklah Fakulti Pendidikan, Fakulti Undang-Undang, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains Gunaan.

Turut serta dalam festival ini juga adalah Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM dan juga wakil dari Bahagian Kemasukan Pelajar (UPU), Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menurut Profesor Ts Dr Hajah Roziah, Festival UiTM Perform 2021 di Pusat Asasi UiTM itu adalah selari dengan visi UiTM untuk menjadi sebuah universiti yang bertaraf global dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

“Peluang untuk meneruskan pelajaran di UiTM haruslah dimanfaatkan oleh semua pelajar dan dengan adanya Festival UiTM Perform ini, maklumat tentang program di setiap fakulti dapat memberikan informasi lebih lanjut kepada pelajar sebelum membuat permohonan”, tambah beliau.

Pengarah Pusat Asasi UiTM Dengkil, Profesor Dr Saifollah Abdullah, berkata selain mempromosikan UiTM, festival itu juga dapat membuka peluang kepada lebih 4,000 pelajar untuk mengenali lebih dekat fakulti-fakulti yang menarik perhatian mereka untuk meneruskan pelajaran ijazah sarjana muda kelak.

“Selain itu, kami juga memberikan hadiah menarik dan juga e-sijil untuk menggalakkan mereka menyertai aktiviti-aktiviti sepanjang program ini.” katanya.

Selain daripada taklimat dan maklumat program daripada fakulti yang terlibat, sesi bersama bekas pelajar dan alumni UiTM juga dijalankan secara atas talian untuk memberi peluang kepada pelajar mengetahui pengalaman belajar di UiTM.

Pengalaman yang dikongsi sedikit sebanyak membantu pelajar Pusat Asasi UiTM untuk mengetahui kehidupan selepas setahun bersama Pusat Asasi UiTM.

Menurut Devana Zamain, pelajar Asasi TESL yang menyertai hampir semua program di Festival UiTM Perform berkata, beliau dapat menimba pelbagai maklumat dan informasi dengan mudah dan tidak perlu mengambil risiko untuk berada di kalangan orang ramai.

“Banyak saya belajar tentang kursus yang saya minat dan mendapat lebih banyak pendedahan tentang apa yang akan saya hadapi kelak dan antara sesi kegemaran saya adalah Sembang Santai Bersama Alumni," katanya.

Artikel menarik

Politeknik Merlimau laksana pendaftaran pelajar guna kaedah drive thru

Guru SK Lukut sanggup berhabis ribuan ringgit beli peralatan ICT untuk sesi PdPc