SHAH ALAM - Diumumkan sebagai johan Kategori Sekolah Menengah dan Filem Pilihan Popular dalam FiTA Wave Short Film Awards 2019 merupakan anugerah yang sangat bermakna bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Sungai Petani, Kedah dan SMK Seksyen 18, di sini.

Guru Produksi Multimedia SMK Khir Johari, Waznati Ismail berkata, kemenangan itu amat di luar jangkaan memandangkan saingan sengit dalam kalangan peserta.

"Kami sangat bersyukur dan gembira. Semoga kemenangan ini menjadi inspirasi untuk kami lebih bersemangat menghasilkan video pendek pada masa yang akan datang," ujarnya.

Katanya, pelakon filem 'Kertas Renyuk' terbitan Halakiri Production, SMK Khir Johari sememangnya berbakat dan berkebolehan dalam bidang lakonan.

"Malah, mereka juga mempunyai bakat dalam penghasilan video, sangat kreatif dan mempunyai teknik sinematografi yang menarik.

"Sebahagian pelakon 'Kertas Renyuk' merupakan pelajar yang mengikuti mata pelajaran MPV Produksi Multimedia di sekolah," katanya.

Pelakon filem 'Kertas Renyuk' yang bercita-cita ingin jadi pengarah filem kelak, dari kiri Normukhriz Aiman, Muhammad Nazrul Izzham dan Rahhaizat.

Menurut Cikgu Waznati, subjek Produksi Multimedia adalah mata pelajaran Vokasional (MPV) di sekolah harian.

"Dalam Produksi Multimedia, pelajar didedahkan dengan perisian multimedia termasuk penyuntingan video menggunakan Adobe Premier.

"Pelajar multimedia ini sangat aktif di sekolah dalam penghasilan video dan fotografi terutama untuk majlis penting sekolah seperti Hari Anugerah Cemerlang, Hari Kokurikulum Sekolah dan Hari Sukan Sekolah selain menyertai pertandingan video pendek di peringkat sekolah dan kebangsaan," katanya.

Dengan kemenangan 'Kertas Renyuk' pasukan SMK Khir Johari membawa pulang RM10,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

SMK Khir Johari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri (tengah). Dari kiri Cikgu Waznati, Rahhaizat Jamel dan Normukhriz Aiman.

Kisah suka duka guru baharu

Filem itu mengisahkan tentang seorang guru baharu yang ditugaskan mengajar kelas yang bermasalah dari segi pembelajaran dan juga disiplin.

Pelajar–pelajar tersebut sering melanggar peraturan sekolah sehingga sanggup membuli guru baharu tersebut.

Pelbagai perkara telah berlaku hingga akhirnya, mereka berubah dan mula menghormati guru berkenaan.

Seramai 13 pelakon yang terlibat dalam pembikinan filem berkenaan.

Kata Cikgu Waznati, 'Kertas Renyuk' menjalani penggambaran selama tiga hari sahaja.

"Lokasi pembikinan video sekitar kawasan sekolah, dalam kelas, bangunan pejabat pentadbiran dan hadapan dewan Kejosa.

"Saya berharap penonton dapat manfaat daripada video ini dan mesej dapat disampaikan dengan jelas. Selain memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk melibatkan diri dalam pembikinan video pendek yang semakin mendapat tempat di hati orang ramai sekarang," ujarnya.

Sebelum ini, SMK Khir Johari pernah muncul Johan Video Inspirasi Kreatif Nilai dan Sahsiah Murid (ILHAM) Menengah Atas berjudul 'Benih Keinsafan' pada tahun lalu.

Sekolah ini juga pernah mendapat Naib Johan Pertandingan Drama Pendek sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia bertajuk 'Halusinasi'.

Barisan pentadbir bersama pelakon-pelakon filem Kertas Renyuk.

'YOL'

Sementara itu SMK Seksyen 18 membawa pulang RM5,000, trofi dan sijil penghargaan menerusi filem 'YOL'.

Filem itu mengisahkan Yol, seorang insan yang tulus dan sering bersangka baik. Yol sering dibuli Jep dan Syakil dan dipermainkan untuk memenuhi keinginan mereka.

Namun, dengan semangat dan ilmu yang ada, Yol menjalani hidup dengan tabah. Setelah Jep dan Syakil sedar akan kesalahan masing-masing, mereka berasa malu kerana rakan yang mereka hina itu sebenarnya mempunyai kelebihan berbahasa Arab.

Mesej yang ingin disampaikan adalah hentikan buli. Jadikan sekolah tempat yang selamat dan kondusif untuk menerima pendidikan.

Pendidikan bukan sekadar untuk mencipta kecemerlangan dan menempa kerjaya yang baik, namun untuk membentuk insan berakhlak mulia dan bertakwa.

 Pemenang bersama Ahmad Idham.

Guru penasihat, Noorhidayah Ismail berkata, filem Yol terbitan AKI Production merupakan 90 peratus hasil kerja pelajar.

“Pelajar amat gembira, teruja dan bangga dengan pencapaian mereka. Mereka lebih yakin untuk ke hadapan dalam menyampaikan mesej melalui platform ini.

“Kami bersyukur dengan kemenangan ini. Alhamdulillah, Ini adalah hasil usaha dan kesabaran murid-murid serta kerjasama semua yang 'like' filem YOL di facebook,” katanya.

Kata Cikgu Noorhidayah, lebih membanggakan filem YOL adalah garapan pertama pelajar namun masih banyak teknik dan kemahiran dalam bidang pembikinan filem yang perlu dipelajari.

Katanya, penggambaran berlangsung selama tujuh hari dalam masa tiga minggu kerana terdapat kekangan seperti aktiviti pelajar, keadaan cuaca dan komitmen pelajar.

“Dari segi kos pula, ia sangat minimum kerana kami menggunakan peralatan yang sedia ada," katanya.

Barisan guru SMK Seksyen 18, Shah Alam.

Sementara itu, pengetua, Ahmad Kamal Idris berkongsi rasa gembira atas kejayaan tersebut.

“Sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana ini merupakan percubaan kali pertama oleh Kelab Flash18. Kelab Flash18 iaitu kelab berorientasikan kewartawanan dan multimedia baru ditubuhkan pada awal tahun ini. Kejayaan ini juga merupakan hasil gabungan dan kerjasama seluruh keluarga besar SMK Seksyen 18 iaitu pelajar, guru, staf serta ibu bapa termasuk PIBG.

“Harapan saya agar lebih banyak karya dan lebih banyak pertandingan yang dapat disertai oleh pelajar2-pelajar sekolah ini. Saya sering mengingatkan mereka supaya sentiasa menyisipkan mesej-mesej dakwah serta nilai murni dalam menghasilkan karya kreatif apatah lagi sekolah merupakan sekolah Kelas Aliran Agama (KAA) sepenuhnya, justeru sudah sepatutnya mereka menggunakan platform seni untuk menyebarluaskan pendekatan Islam sebagai “rahmatan lil a’lamin”.

“Di samping itu, saya juga ingin menjadikan sekolah sebagai sebuah tempat yang bukan hanya untuk mengejar kejayaan akademik semata-mata tetapi sekolah harus membuka peluang ke arah ‘fun learning’ dengan memanfaatkan kecanggihan perkakasan multimedia seperti yang dihasratkan oleh KPM iaitu PAK21,” ujarnya.

Pasukan SMK Seksyen 18 meraikan kejayaan setelah 'YOL' dinobat Filem Pilihan Popular FiTA Wave Award 2019.

Guru-guru SMK Seksyen 18 yang terlibat, dari kanan: Cikgu Noorhidayah, Cikgu Noritawati, Pengetua Ahmad Kamal, Cikgu Ahmad Roslan, Cikgu Noor Haneef dan Cikgu Nur Fatnin.

INFO

Kertas Renyuk

Barisan pelakon

1. Muhammad Nazrul Izuan Mohamad Nizan (Cikgu Kamal)

2. Cikgu Nuratul Salamah Tee Abdullah (Guru wanita)

3. Idris Osman (Pengetua)

4. Muhammad Nazrul Izzham Mohamad Nizan (pelajar-merangkap pengarah dan penyunting video)

5. Iskandar Dzulqarnain Ariffhaq Hayadi (Dean)

6. Rahaizat Jamel (Komeng)

7. Faris Rosmi (Riss)

8. Muhammad Hadi Syafeeq Shahrudin (Kimon)

9. Muhammad Nuril Eiman Nashruwan (Mann)

10. Darus Haikal Md Daud (Jibek)

11. Normukhriz Aiman NorHelmi (Zizan).

 

Jurukamera

1. Asyraf Mursyidi

2. Wan Solehuddin

 

Guru pembimbing

1. Cikgu Waznati

2. Cikgu Idris

3. Guru Kanan Bahasa, Nuratul Salamah Tee

YOL

Barisan pelakon

1. Muhammad Raid Haziq Rosni (watak Yol)

2. Syaqil Raziq Razaki Sham (Syaqil)

3. Zafri Ziyadi (Jep)

4. Ustazah Noor Haneef Mohammad (Guru Bahasa Arab)

5. Muhammad Fikri Mohd Radzi (Ketua Kelas)

6. Shohor Ubaidillah Mohd Shahrin Shah (J.pong)

7. Muhd Harith Zafran Mohd Hatta (Apan)

 

Kru produksi   

1. Muhammad Azim Irfan Bahtiar (Pengarah)

2. Nur Afiqah Mohd Afendi (Penolong Pengarah)

3. Muhammad Amin Asyraaf Mat Baharuz (Videografer)

4. Ahmad Fawwaz Ruzi (Editor)

5. Nur Anis Aqilah Mohd Fairudz (Editor)

6. Mubasyir Naqib Norazman

7. Muhammad Adli Hakeem Mohd Rizal

8. Nurin Damia Adani Mohd Ajid

9. Muiz Izuddin Mohd Yusri

 

Guru pembimbing

1. Penolong Kanan Kokurikulum Saniah Seman

2. Cikgu Noorhidayah Ismail (Ketua)

3. Cikgu Ahmad Roslan Mohamad

4. Cikgu Noritawati Ramli

5. Cikgu Nur Fatnin Rahimi  

ARTIKEL MENARIK:

Guru ini kongsi 12 kelebihan masuk Tingkatan Enam, nombor tujuh pasti buat ramai tersenyum

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya

Guru Adiwira PAK 21 ini guna lego dan Elemen 4K1N ajar MBK Masalah Penglihatan

Memang wajar guru ini menang Adiwira PAK21, Cikgu Nazmi berjaya bawa segala ilmu dalam kelasnya

Guru Bimbingan dan Kaunseling buat ini bila terjumpa beg berwarna hitam di rumah Makcik Leha