SHAH ALAM - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5 Wangsa Maju, Nor Diana Khamarulzaman mula curi perhatian ramai apabila menjuarai pertandingan Malaysia Pro Wrestling-The Wrestleconi, baru-baru ini.

Nordiana atau Diana 19 yang lebih dikenali di gelanggangnya dengan gelaran Nor ‘Phoenix’ Diana berkata, dia masih lagi terkejut dengan perhatian netizen kepadanya.

"Saya tak sangka, dengan menjuarai pertandingan tersebut, ramai yang beri sokongan dan kata-kata semangat.

"Ternyata, saya merasakan yang semua ini seperti mimpi. Walau bagaimanapun terima kasih banyak-banyak atas ucapan dan penghargaan yang diberikan. Saya akan cuba yang terbaik kelak," kata Diana kepada GPS Bestari.

Diana yang dikenali dengan sifat pemalu berkata, gelaran 'Phoenix' sangat bermakna buat dirinya.

"Dalam bahasa Melayu, ia membawa maksud cenderawasih.

"Jurulatih saya, Ayez Shaukat Fonseka yang beri gelaran tersebut. Ini kerana, beliau yakin dan percaya akan kebolehan saya yang boleh 'terbang' tinggi dalam arena gusti," ujarnya yang pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa.  

Nor ‘Phoenix’ Diana makin digeruni ramai.

Menurut gadis bertudung pertama dalam arena gusti ini kepada GPS Bestari, tiada sesiapa pun yang mendorongnya untuk berkecimpung secara serius dalam sukan gusti.

"Semuanya atas keinginan saya sendiri. Mungkin sebab saya sukakan pada cabaran lantas gusti yang jadi pilihan," ujarnya.

Di peringkat permulaan, ibu dan ayah Nor ‘Phoenix’ Diana sukar untuk memenuhi kehendak dan minat anak gadisnya itu.

"Ayah tidak berapa setuju dengan minat saya...tetapi akhirnya tetap benarkan kerana tahu ini minat Diana.

"Ibu pun begitu...ibu sangat bimbang dengan sukan gusti...tetapi ibu berubah hati apabila melihat persembahan Diana dalam setiap latihan dan pertandingan dan seterusnya yakin yang Diana mampu pergi lebih jauh," jelasnya.

Aksi Nor ‘Phoenix’ Diana ketika beraksi di gelanggang gusti. 

Ditanya mengenai penerimaan rakan-rakan di sekolah pula, ini kata gadis cantik ini.

"Penerimaan kawan-kawan tidak beberapa memberangsangkan kerana mereka tidak menghiraukan atau anggap ia perkara besar. Mereka hanya menerima sahaja," katanya yang begitu meminati bidang rekaan grafik.

Terdahulu, tular sebuah video seorang gadis bertudung yang sangat lincah di gelanggang gusti.

Dek kelincahan dan keberanian gadis dikenali Nor ‘Phoenix’ Diana, dia telah menjuarai pertandingan Malaysia Pro Wrestling-The Wrestleconi.

Nor ‘Phoenix’ Diana mula meminati sukan gusti pada usia 14 tahun.

Gadis ini sangat gemar bermain video game wresling bersama adik bongsunya. Sejak dari itu, sukan gusti mula menjadi pilihan dan dia tidak pernah ketinggalan menonton perlawanan wresling di kaca televisyen.  

Kerana amat meminati sukan gusti, Diana mula mencari platform untuk menceburi secara serius.

"Saya google dan terus google hingga terjumpa Persatuan Gusti Malaysia ataupun lebih dikenali sebagai MyPW.

"Saya tekad untuk menyertai mereka dan berlatih untuk mencapai impian menjadi ahli gusti wanita ternama di dunia," katanya yang melahirkan penghargaan yang tak terhingga kepada Coach Ayez Shaukat kerana mempercayai dirinya sejak hari pertama dia dalam arena tersebut.

Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar, mana mungkin nama Nor ‘Phoenix’ Diana boleh berjaya seperti sekarang.

Sementara itu, Coach Ayez Shaukat, 31 memberitahu, masa depan Diana sangat cerah.

"Diana ada semangat yang kuat, tidak mudah putus asa dan punyai minat yang mendalam.

"Malah, Diana berpotensi besar membawa nama gusti Malaysia ke persada dunia. Dia sudah pun bertanding di luar negara, tetapi saya yakin, selepas ini makin lama makin banyak pertandingan bakal disertai," katanya yang kini melatih Diana di MyPW Developmental Centre di Space Rubix Puchong.

Akhir sekali, Coach Ayez Shaukat berharap anak didiknya itu ingat pesanan yang diberikan ini.

"Pesanan saya agar Diana berupaya bertahan dan kuat dengan komen-komen negatif. Abaikan komen tak membina dan fokus kepada apa yang diceburi sekarang.

"Ingat, teruskan perjuangan dan mengejar impian, cita-cita serta minat," katanya.

Coach Ayez Shaukat (kiri) yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada Diana dalam arena gusti.

Turut menjalani latihan gusti bersama ahli gusti lelaki yang lain.

Diana (kanan) bersama rakan-rakan sekolahnya di SMK Seksyen 5 Wangsa Maju.

ARTIKEL MENARIK:

Latih tubi Matematik untuk murid Tahun Enam - Ada 10 soalan untuk dijawab

Cikgu ini sanggup bergelumang selut dan menebang balak demi murid SK Ulu Lemanak (24 foto)

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

Tip skor A Matematik UPSR - Mak ayah wajib ambil tahu perkara ini

12 punca anak malas belajar.. mama papa wajib sedar serta selesaikan segera!