SHAH ALAM - Guru kaunseling di semua sekolah di seluruh negara disaran supaya mengambil langkah lebih proaktif dalam mendekati para pelajar yang bermasalah termasuk berkaitan pembelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata langkah itu dilihat bertepatan dengan peranan mereka selaku ‘guru pembimbing masalah’ untuk menyantuni semua pelajar sambil dibantu guru-guru lain.

"Sebenarnya kita berharap guru kaunseling dapat mengambil pendekatan yang lebih proaktif dan tidak hanya menunggu sahaja murid yang datang mengetuk pintu (pejabat).

"Kita bukan cakap guru kaunseling sekadar duduk di pejabat tetapi kita mahu mereka ini lebih proaktif (menyantuni pelajar bermasalah). Jika mana-mana guru rasa ada pelajar mempunyai masalah, rujuklah mereka kepada guru kaunseling,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kali ke-21, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian seorang pelajar berumur 13 tahun di Pulau Pinang yang bertindak menggantung diri di dalam bilik air di rumahnya kerana kurang minat dalam pelajaran pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun kata beliau, usaha memperkasakan peranan guru kaunseling adalah bergantung kepada pihak pentadbiran sekolah bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang di lokasi lain.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program sarapan percuma (PSP), Teo berkata sebanyak enam sekolah di Lembah Klang telah dipilih untuk dijadikan projek rintis kepada program berkenaan.

"(Menerusi projek rintis itu) Kita akan lihat semula (memperincikan) jenis sarapan yang sesuai, kemudian baru kita buat keputusan apakah makanan yang bersesuaian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi keenam-enam sekolah berkenaan.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek mengumumkan bermula Januari tahun depan, PSP akan dilaksanakan buat semua pelajar di sekolah rendah seluruh negara.

Menurut Maszlee, program berkenaan akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan tersebut akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

PSP dicadang untuk dilaksanakan selama 30 minit, antara 7 hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan antara 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang. - Bernama

Tip Menarik:

Skor A Matematik UPSR...Cikgu Mohamad Hakim kongsi 11 contoh soalan bersama langkah pengiraannya

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Teknik GPS cara Cikgu Shahrul...calon pasti dapat jawab dengan mudah Sains (Kertas 1) UPSR