SHAH ALAM - Hampir 800 murid Sekolah Kebangsan (SK) dari keluarga kurang berkemampuan dalam Parlimen Shah Alam menerima bantuan berupa pakaian sekolah.

Bantuan itu diserahkan kepada murid berkenaan melalui program bantuan pakaian sekolah 2017 anjuran Pemuda Umno Bahagian Shah Alam di Anggerik Mall, di sini, semalam.

Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Datuk Muadzam Shah Yaakob berkata, kesemua penerima itu merupakan murid di lebih 20 SK dalam parlimen ini.

“Mereka dipilih melalui kerjasama kita dengan pihak sekolah yang mempunyai data base murid dalam golongan kurang berkemampuan, yang mana pendapatan keluarga mereka adalah di bawah RM3,000 sebulan.

“Bantuan yang diberikan ini bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, beliau berkata, program sedemikian dilaksanakan saban tahun dan ia diagihkan sama rata kepada murid tanpa mengira fahaman politik ibu bapa mereka.

“Matlamat kita hanya satu, mahu bantu mereka dan kita beri keutamaan kepada murid sekolah rendah sahaja.

“Hal ini kerana mengikut analisa kami, ibu bapa yang mempunyai anak-anak peringkat rendah ini rata-ratanya berusia bawah 40-an dan kewangan mereka juga dilihat belum begitu stabil,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Muhammad Daniel Haqeem Imran, 11, berkata, pemberian pakaian sekolah ini akan digunakannya sebaik melangkah masuk ke sesi persekolahan baru tahun 2018.

MUHAMMAD DANIEL HAQEEM

“Selalunya ibu dan ayah belikan untuk saya dan adik, namun kali ini kami dapat percuma.

“Sedikit sebanyak ia dapat kurangkan beban kewangan ibu bapa saya. Mereka dapat fokus kepada keperluan lain nanti,” kata murid SK Seksyen 6 itu.