JIKA anda 'hantu' durian, tentunya anda amat berterima kasih kepada empat pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Terengganu ini kerana mereka berjaya membangunkan alat yang menyelesaikan masalah anda untuk menikmati raja buah itu.

Empat pelajar yang menggelarkan mereka sebagai SESMA Dream Seekers dengan dibimbing ketua pasukan, Cikgu Muhd Fazli Dollah membangunkan EzD Opener yang berfungsi membuka buah durian tanpa perlu bersusah payah mengeluarkan tenaga.

Beliau yang juga guru Sains dan Biologi berkata, EzD Opener adalah pembuka buah durian yang inovatif dan membantu orang makan buah berkenaan dengan senang hati.

“Mereka boleh mengopek buah durian tanpa susah payah. Malah kanak-kanak pun boleh mengopek durian dengan mudah menggunakan alat ini,” katanya.

Cikgu Muhd Fazli

EzD Opener adalah inovasi terbaharu yang dihasilkan oleh empat pelajar Tingkatan Dua SESMA, iaitu Muhammad Alif Muhaimi Zulkifli; Muhammad Khairul Ikhwan Abd Halim; Nur Ain Maznan dan Nur Hannah Aqilah Mat Razali.

Inovasi EzD Opener baharu sahaja memenangi Anugerah Perak kategori Junior Inventor pada Invention, Innovation & Design Exposition (IIDEX) 2019.

Pertandingan yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam pada 10 hingga 15 September lalu menghimpunkan lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara.

“Kejayaan ini menyuntik semangat kami untuk lebih berusaha memperbaiki kelemahan EzD Opener agar mampu dikomersialkan kelak,” katanya.

EzD Opener

Selain EzD Opener, SESMA Dream Seekers pernah meraih Anugerah Emas peringkat kebangsaan pada Invention, Innovation Competition and Exhibition Terengganu 2019 (ICTex2019) yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Julai lalu.  

Lebih membanggakan, empat pelajar yang sama telah membangunkan CFOS Helmet yang merupakan topi keledar keselamatan yang mempunyai penggera khas.

Penggera itu akan berbunyi jika pemakainya terlupa untuk mengikat tali topi keledar.

Seramai lima guru merangkap pengurus program turut membantu menghasilkan inovasi tersebut.

Mereka ialah Dr Suhaiza Mat Said, Cikgu Abd Halim Deraman, Cikgu Nurul Afiqah Nordin, Cikgu Ummy Nurulafida Zakaria dan Cikgu Muhd Fazli Dollah.

 Ahli pasukan SESMA Dream Seekers memberi penerangan mengenai EzD Opener kepada hakim.

 Anugerah Perak yang dimenangi SESMA Dream Seekers.

Guna besi terbuang

Cikgu Muhd Fazli berkata, inovasi EzD Opener dihasilkan dengan menggunakan kos kurang daripada RM50.

"Alat ini dihasilkan daripada besi terbuang, besi ini kami peroleh daripada lebihan membuat gril dan 'welding'.

"EzD Opener ini mudah dibawa kerana ia kecil, ringan dan selamat digunakan," katanya.

Tambah beliau, antara tujuan inovasi EzD Opener adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan kecederaan ketika mengopek durian, selain menjimatkan masa dan tenaga.

"Alat ini membantu meningkatkan sumber pendapatan penjual durian kerana mengambil masa singkat untuk mengeluarkan isinya, dengan ini penjual durian boleh melayan lebih ramai pelanggan dalam satu masa.

“Selain itu, inovasi EzD Opener juga membantu pelajar mengaplikasikan pengetahuan tentang tuas yang dipelajari dalam silibus Sains Tingkatan 2 Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

"Dengan cara ini, pelajar tahu bahawa apa yang mereka pelajari bukanlah perkara sia-sia dan boleh diguna pakai dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang membangunkan inovasi itu, mereka berhadapan dengan beberapa cabaran, antaranya kebanyakan kedai kimpalan tidak mahu mengambil tempahan kerana beranggapan alat yang ingin dihasilkan terlalu kecil dan tidak mendatangkan keuntungan besar kepada mereka.

Bagaimanapun akhirnya, mereka menemui kedai kimpalan yang sedia untuk membuat EZD Opener yang bersaiz 20 cm panjang, 2.5 cm tebal.

"Berdasarkan penilaian hakim ketika IIDEX 2019, ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, antaranya mengecilkan lagi saiz produk kepada 12.5 cm panjang dengan ketebalan hanya 1.2 cm supaya mudah dibawa dan ini kami akan lakukan bagi membolehkan EZD Opener dikomersialkan.

“Kami akan mengambil kira penilaian para hakim dan berazam untuk menyertai mana-mana pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa selepas ini,” ujarnya.

 Ahli SESMA Dream Seekers dari kiri: Nur Hannah Aqilah, Muhammad Alif Muhaimi, Muhammad Khairul Ikhwan dan Nur Ain. 

Pengunjung teruja mendengar penerangan berkenaan EzD Opener daripada SESMA Dream Seekers.

INFO

Ahli kumpulan SESMA Dream Seekers

Pelajar

1. Muhammad Alif Muhaimi Zulkifli

Tingkatan Dua

2. Muhammad Khairul Ikhwan Abd Halim

Tingkatan Dua

3. Nur Ain Maznan

Tingkatan Dua

4. Nur Hannah Aqilah Mat Razali

Tingkatan Dua

 

Guru Pembimbing

1. Cikgu Muhd Fazli Dollah

 

REAKSI PESERTA

1) “Saya belajar banyak perkara sepanjang menyiapkan inovasi itu termasuk memahami konsep sains yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

- Muhammad Alif Muhaimi Zulkifli

Tingkatan Dua

 

2) “Sangat mengejutkan bila mendapat Anugerah Perak. Memang tak sangka, sebab saingannya sangat sengit."

- Muhammad Khairul Ikhwan Abd Halim

Tingkatan Dua

 

3) “Saya minat dalam inovasi kerana ia bidang yang mencabar. Lagi satu, saya merasakan perlu untuk kita menghasilkan sesuatu yang akan memudahkan orang lain."

- Nur Ain Maznan

Tingkatan Dua

 

4) “Seronok sangat bila dapat terlibat dengan pasukan inovasi sekolah ini. Saya harap, pasukan ini akan terus menempa kejayaan dan kecemerlangan pada masa akan datang."

- Nur Hannah Aqilah Mat Razali

Tingkatan Dua

Artikel Menarik:

'Jika keluar tanda seperti bisul, segeralah ke hospital' - Guru ini kongsi kematian muridnya

Guru ini kongsi enam tip untuk mak ayah buat ketika hadir hari orientasi anak-anak

Selipar lusuh dikutip lalu direka menjadi mainan sendiri...idea pelajar ini tarik perhatian netizen