DENGAN hasrat ingin berkongsi dengan ibu bapa mengenai teknik yang berkesan untuk mengajar anak istimewa di rumah dan membuat aktiviti merangsang minda mereka ke arah pemikiran positif, Jurulatih Utama Pemulihan Khas Kebangsaan, Roslee [email protected] buat julung kalinya mengadakan Bengkel Jom Bantu Anak (JOBA).

Beliau dijemput berkongsi dengan ibu bapa dan waris murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.

Cikgu Roslee yang merupakan Guru Pemulihan Khas, SK Kampung Soeharto, Hulu Selangor berkata, program kali ini dihadiri 50 keluarga dan sambutan sangat menggalakkan.

"Bengkel anjuran SK Taman Bukit Dahlia ini bertujuan memberi pengalaman langsung kepada ibu bapa teknik merangsang anak-anak belajar secara berfokus di rumah.

"Melalui bengkel ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa amat ketandusan ilmu pedagogi yang sesuai dan ternyata mereka belum pernah diberikan cara yang betul mendidik anak-anak ini lebih cepat dan berkesan menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M)," katanya.

Kata beliau, bengkel selama empat jam yang diadakan pada 8 Mac lalu itu, mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

"Impak yang kami terima daripada ibu bapa amat positif, ibu bapa dapat ilmu tentang teknik yang tepat untuk mengajar anak-anak istimewa di rumah.

"Peserta mengaplikasikan ilmu membina bahan bantu belajar secara 'hands on' bersama-sama anak," jelasnya.

Cikgu Roslee (tengah) bersama guru, ibu bapa dan murid di Bengkel JOBA, 8 Mac lalu.

Menurutnya, antara aktiviti menarik yang diadakan ketika bengkel itu seperti membina kad asas huruf dan nombor menggunakan kertas A4 sambil mengajar anak mengenal huruf.

"Selain itu, turut diadakan sesi membina kad lipat suku kata sambil mengembangkan kreativiti anak memadankan suku kata menjadi perkataan.

"Ibu bapa turut dilatih membina empat kad roda bergambar sambil mengajar anak mengeja perkataan sambil memadankan perkataan dengan gambar melalui aktiviti memutarkan kad roda yg telah dibina.

"Di samping itu, ibu bapa turut diajar membina kad roda 3D dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ibu bapa akan mengajar anak-anak mengeja dan menyebut perkataan bahasa Inggeris dan menterjemahkannya untuk anak selain membimbing mereka bermain sambil belajar memusing kad roda serta memadankan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris," jelas beliau.

Kata Cikgu Roslee, ibu bapa yang terpilih ialah ibu bapa yang mempunyai anak kelas pemulihan khas dan prasekolah yang tidak menguasai kemahiran 3M.

"Sebelum bengkel ini, ibu bapa langsung tidak tahu inilah kaedah paling berkesan merangsang anak-anak istimewa ini untuk belajar di rumah.

"Menerusi kaedah ini ibu bapa dapat mengesan kekuatan dan kelemahan anak-anak mereka yang sebelum ini anggap amat sukar untuk belajar," katanya.

Teknik berkesan

Beliau memberitahu, teknik ibu bapa dan anak sama-sama membina bahan bantu belajar secara 'hands on' amat berkesan menarik minat anak-anak untuk belajar tanpa dipaksa.

Lebih menakjubkan para ibu bapa apabila anak mereka amat fokus ketika membina bahan pembelajaran dan dapat belajar dengan baik.

Cikgu Roslee turut berharap agar ilmu yang telah dikongsikan dapat diaplikasikan secara berterusan.

"Ilmu ini bukan saya dapat secara ikut rasa tetapi hasil kajian saya selama enam tahun. Saya kaji semua tingkah laku murid pemulihan khas ini dan saya hanya melihat kepada kekuatan yang murid-murid ini ada, bukannya melihat kepada kekurangan mereka.

"Insya-ALLAH kekuatan yang mereka ada walaupun sedikit tetapi akan mampu menutupi semua kelemahan mereka," katanya.

Menurut beliau, konsep itu yang ditekankan kepada ibu bapa agar setiap yang diusahakan akan berhasil.

"Kepada ibu bapa lain, sekiranya perlukan ilmu ini saya sedia berkongsi. Saya amat berharap sangat agar ibu bapa terus kreatif dan sediakan masa yang minimum untuk bersama anak istimewa ini mengajar dan belajar.

"Saya yakin kepada ibu bapa yang hadir ke bengkel ini akan lebih berwibawa membawa anak-ana mereka ke arah kecemerlangan," katanya.

Cikgu Mohd Senin

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Bukit Dahlia, Mohd Senin Kassim dalam ucapannya memuji ibu bapa yang hadir dan sambutannya amat luar biasa mungkin atas faktor penceramah dan fasilitatornya guru pakar pemulihan khas yang telah terbukti mampu membantu ibu bapa mengajar anak mereka menguasai 3M.

"Malah program ini akan dijadikan program tahunan sekolah ini kerana telah terbukti keberkesanan impak kepada program ini sebelum ini.

"Saya berharap ibu bapa yang dapat ilmu ini terus melaksanakannya di rumah kerana ibu bapa merupakan ejen utama kepada perkembangan awal kanak-anak.

"Bukan senang untuk memanggil cikgu Roslee selaku penceramah dan fasilitator untuk hadir kerana penceramah ini mempunyai jadual jemputan yang ketat kerana semua mahukan ilmu ini," katanya.

Aktiviti yang dilakukan bersama Cikgu Roslee ketika bengkel.

Aktiviti senampulih bersama Cikgu Roslee untuk merangsang minda

Artikel lain:

Garis panduan PdP semasa PKP – Ini yang KPM buat. Boleh jadikan rujukan

Latih tubi soalan objektif Matematik SPM 2020 – Perkongsian Guru Cemerlang

Kuiz Topikal Matematik Tingkatan 3 - 5 KSSM - Google Form Terbaik!

Murid pasti tak sabar nak ke sekolah bila cikgu nekad buat empat perkara ini

Nota poket bantu murid ingat fakta dengan tepat - Cikgu Ahmad Safarman