PUNCAK ALAM - Ibu tunggal lima anak merayu bantuan masyarakat bagi meneruskan kehidupan selepas bekas suaminya menghilangkan diri sejak lebih setahun lalu.

Ibu muda yang mahu dikenali sebagai Aishah itu berkongsi kisahnya yang terpaksa menipu guru bahawa anaknya sakit kerana tidak mampu mengisi minyak motosikal untuk menghantarnya ke sekolah.

Lebih menyedihkan, urusan pembayaran yuran persekolahan dan pembelian buku untuk anaknya yang bakal menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini masih belum berbayar.

Aishah berkata, sebelum ini mereka sekeluarga bergantung hidup daripada hasil jualan makanan di daerah lain sebelum berpindah ke Puncak Alam.

“Saya nekad berpindah demi keselamatan anak-anak selain tidak mampu membayar sewa. Kami kini menumpang di rumah kawan sementara saya mendapat kerja. Hanya ALLAH saja yang dapat membalas budi kenalan saya itu,” katanya.

Aishah yang berusia 34 tahun mengakui sebelum ini ‘mampu bernafas’ hasil nafkah bulanan daripada bekas suaminya.

Buntu memikirkan nasib anak-anak, Aishah memuat naik status di media sosial untuk memohon sumbangan tetapi  memadamkannya kerana kecaman netizen.

Aishah berkata, dia merancang menjual nasi bajet dibantu anak-anak selepas mereka tamat waktu persekolahan namun memerlukan bantuan kewangan untuk modal permulaan.

“Memang saya malu tetapi saya terpaksa melakukan apa sahaja demi anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.Kesusahan ibu tunggal yang menanggung anak berusia enam hingga 15 tahun itu mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Puncak Alam (We Share).

Presidennya, Mohd Hanif Md Sultan memberitahu, pihaknya akan merujuk kes itu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk bantuan sewajarnya kerana ibu tunggal itu tiada punca pendapatan.

Menurut Mohd Hanif, pertubuhan berkenaan akan memastikan yuran peperiksaan dua anaknya diselesaikan manakala dua lagi yang masih bersekolah memerlukan perbincangan untuk mendapatkan bantuan makanan.

“Saya juga akan bincang dengan jawatankuasa lain untuk membantu dari segi kewangan bagi membolehkan ibu tunggal ini dapat meneruskan hidup dan menampung perbelanjaan anak-anaknya.

“Orang ramai yang ingin membantu, bolehlah salurkan ke akaun Maybank Pertubuhan Kebajikan Puncak Alam 562478166914 dan perlu tulis bantuan ibu tunggal bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Mohd Hanif yang juga Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam (4PA) turut kesal dengan peningkatan kes ibu tunggal disebabkan suami yang tidak bertanggungjawab.

“Banyak kes yang kami terima hampir 400 aduan berhubung isu sama. Isteri ditinggalkan tanpa sebarang nafkah dan sikap suami  pemalas mengharapkan isteri menanggung keluarga,” katanya.     

Artikel lain:

Pelajar SMK Kompleks KLIA juara dunia pertandingan robotik antarabangsa di Turki

'Ayah hanya kerja kampung.. saya tak sangka doa dimakbulkan.' - Pelajar 10A dapat biasiswa MB Pahang

Teater Muzikal Aladdin SK Putrajaya Presint 8(2) projek PBD tonjol bakat murid (41 foto)