DENGKIL - Seorang ibu tunggal dari Taman Changgang Jaya, Bukit Changgang, di sini, tidak pernah terfikir dia terpaksa menanggung empat anaknya bersendirian selepas kematian suaminya pada tahun lalu.

Biarpun masih bekerja di sebuah restoran makanan segera di KLIA, Siti Eishah Mohammad, 36, berkata, wang gajinya perlu dibahagi dengan cermat untuk menyara keluarga.

Menurutnya, arwah suaminya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru dan sejak itulah segala keperluan keluarga terpaksa ditanggung bersendirian.

"Saya tak terima apa-apa bantuan sebab pihak berkenaan dimaklumkan saya bekerja. Kalau diikutkan, agak sukar menanggung empat anak berumur empat hingga 13 tahun dan masih bersekolah.

"Persiapan persekolahan anak-anak untuk tahun depan pun saya belum sediakan lagi. Mujur nama anak terpilih untuk terima bantuan daripada Adun Dengkil dan Roadcare (M) Sdn Bhd," katanya yang mengakui bantuan berkenaan benar-benar membantunya.

Empat anak Siti Eishah merupakan antara 205 penerima bantuan terpilih dari Dun Dengkil untuk Program Siri Ketiga Back To School Dun Dengkil 2016 anjuran Puteri Umno Bahagian Sepang.

Menurut Siti Eishah, bantuan RM400 untuk empat anaknya itu dianggap sebagai rezeki kerana kelengkapan persekolahan mereka belum disediakan.

"Setiap seorang anak-anak saya terima RM100 dan ia dapat digunakan untuk beli kelengkapan persekolahan dengan diskaun yang baik. Saya bersyukur kerana mereka terpilih untuk menerima bantuan ini," katanya.

Sementara itu, Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berharap, bantuan diberikan dapat meringankan beban ibu bapa dari golongan kurang berkemampuan dan beliau yakin ibu bapa dapat membahagikan wang perbelanjaan bagi keperluan persekolahan anak-anak dengan berhemah.

"Saya puji inisiatif Puteri Umno Bahagian Sepang yang berjaya kumpul 409 anak-anak di Sepang melalui tiga siri penyampaian bantuan di tiga lokasi berlainan untuk bantu mereka membeli keperluan persekolahan.

"Dalam pada itu, bantuan daripada syarikat korporat juga sedikit sebanyak dapat mengaktifkan program tanggungjawab sosial korporat mereka selain memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui peranan syarikat-syatikat berkenaan," katanya.

Hadir sama pada program tersebut, Ketua Puteri Umno Bahagian Sepang, Siti Zubaidah Abu Bakar dan Penolong Pengurus Besar Roadcare (M) Sdn Bhd, Nikifli Nik Saad.