SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) menyedari bahawa sekolah adalah tempat untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini mengatakan budaya dan adat resam antara kaum perlu diketahui, difahami dan dihormati oleh semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru-guru dan murid-murid.

"Sebagai usaha menyemai semangat toleransi, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, KPM menggalakkan penyertaan warga sekolah dalam semua aktiviti silang budaya yang dijalankan.

"Merujuk kepada Perayaan Ponggal yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu, KPM tidak pernah menghalang perayaan ini diadakan di sekolah.

"Merujuk kepada surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020, surat ini dikeluarkan bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam pelibatan anak-anak mereka semasa sambutan perayaan tersebut," katanya.

Menurutnya, kenyataan surat itu mengambil kira pendirian dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"KPM juga mengingatkan pihak sekolah agar mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa jika berhasrat untuk mengadakan sambutan perayaan yang tertentu di sekolah," katanya.

Artikel lain:

Kronologi kes jangkitan influenza di sekolah, terkini 164 pelajar dan seorang guru dijangkiti

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020