SUNGAI BULOH - Bagi memupuk kesedaran dan memberi pendedahan luas kepada murid-murid tentang pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar, Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama (SUTAMA) menganjurkan Program Melestarikan Alam Sekitar Melalui Kitar Semula.

Pengetua Cemerlang SUTAMA, Noor Hayati Embong berkata, program yang mula dilaksana pada tahun lalu itu bertujuan mengatasi isu  botol minuman plastik yang digunakan oleh murid-murid pada setiap hari yang dibuang begitu sahaja dalam tong sampah.

Bilangan murid yang mencecah 3,600 orang menjadikan jumlah botol plastik yang dibuang setiap hari oleh murid-murid terus meningkat.

Atas kesedaran untuk memastikan botol-botol yang dibuang itu menjadi nilai tambah dalam melestarikan alam sekitar, lantas Kelab Inovasi Elite telah mengorak langkan mencari solusi dengan melancarkan Program SUTAMA Melestarikan Alam Sekitar Melalui Kitar Semula sebagai satu platform mendedahkan murid-murid dan komuniti  tentang pentingnya menjaga serta menyayangi alam sekitar.

Pelajar menunjukkan botol plastik yang berjaya dikumpulkan untuk tujuan kitar semula.

“SUTAMA melalui Kelab Inovasi Elit, sejak tahun tahun lalu lagi telah menjadikan kitar semula sebagai sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan di bawah seliaan Unit Kokurikulum.

"Pada tahun ini pula, pasukan Inovasi Elit SUTAMA telah menyahut cabaran Syarikat Toyota Malaysia dengan menyertai Pertandingan Toyota Eco Youth: Reimagining Mobility dan telah berjaya menempatkan diri antara 16 sekolah yang terpilih  bertanding di peringkat kebangsaan.

“Aktiviti seumpama ini bukan sahaja dapat mendedahkan pelajar terhadap keprihatinan menjaga alam sekitar, malah pada masa yang sama kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) berjaya diterapkan dalam kalangan murid bagi penyelesaian  masalah atau isu berkaitan.

"Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, ia dapat mencungkil kreativiti murid-murid dalam penghasilan barang-barang melalui projek kitar semula tersebut,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Pakaian terpakai turut disumbangkan oleh komuniti setempat untuk dikitar semula.

Menurut Noor Hayati, menariknya pada tahun ini, SUTAMA turut melancarkan program berskala besar melalui kerjasama dengan organisasi luar berdasarkan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bertitik tolak daripada aktiviti kokurikulum ini, Kelab Inovasi Elit juga turut bekerjasama dengan sebuah organisasi bebas yang menghasilkan pelbagai barangan kegunaan harian menerusi kitar semula iaitu Kloth Malaysia Sdn Bhd.

"Hasil daripada kerjasama ini, Kelab Inovasi Elit SUTAMA telah berjaya menjana pendapatan melalui pengumpulan botol-botol plastik dan pakaian terpakai yang tidak digunakan lagi," katanya.

Ujar Noor Hayati lagi, melalui aktiviti itu juga aspek keusahawanan turut diterapkan dalam diri murid-murid bagi mengurus barangan terpakai tersebut malah Kerjasama daripada komuniti Saujana Utama menjadikan program itu dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berimpak tinggi untuk mendidik murid-murid dan masyarakat mengurus bahan-bahan buangan ini melalui kitar semula.

Sebahagian daripada botol plastik yang berjaya dikumpulkan oleh warga SUTAMA.

“Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pematuhan SOP, program kitar semula ini menyaksikan bagaimana warga SUTAMA dan Komuniti Kejiranan Saujana Utama berjaya menghantar botol-botol plastik dan baju terpakai untuk dikumpulkan pada tempat khas yang telah ditetapkan sebelum diambil oleh pihak Kloth untuk proses seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, SUTAMA berjaya melaksanakan program itu kerana komitmen yang padu dalam kalangan guru-guru, murid-murid, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan komuniti Saujana Utama untuk melestarikan alam sekitar.

"Besarlah harapan pihak SUTAMA agar sumbangan kecil melalui program ini akan memberikan impak yang besar untuk mendidik murid-murid dan komuniti agar sama-sama bertanggungjawab mengurus barang-barang terpakai dengan bijaksana bagi melestarikan alam sekitar pada masa hadapan. Semoga amalan kitar semula akan menjadi satu cara hidup dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengurus alam sekitar," katanya.

Artikel menarik

KPM akan tutup sekolah jika kecekapan operasi terjejas – Menteri Kanan Pendidikan

Nasihat 'deep' buat guru baru posting