SHAH ALAM - 'Untuk dapat kejayaan ini, kita mesti menjaga hubungan baik dengan ALLAH SWT dan manusia.'

Itu kata Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Aliran Agama dan Terbaik Keseluruhan, Muhammad Irham Shaari.

Pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) Kuala Langat yang ditemui selepas berakhirnya majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018, di Kelab Shah Alam, 14 Julai lalu, berkata, hubungan baik sangat penting untuk dapat reda ALLAH.

"Semua orang boleh belajar. Cuma bezanya, ada orang yang akan rasa tertekan dan akibatnya ilmu yang dicurah guru, gagal diterima. Mungkin terjadi perkara sebegini sebab pelajar itu tidak menjaga hubungan dengan ALLAH dan manusia," katanya yang berjaya membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM300.

Muhammad Irham (dua, kanan) menerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM Aliran Agama dan Terbaik Keseluruhan daripada Amirudin (dua, kiri). Turut serta, Zahura (kiri).

Muhammad Irham kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Tenaga Nasional selama lima tahun dalam bidang kejuruteraan elektrik kuasa di bawah tajaan Yayasan Tenaga Nasional.

Dia juga merupakan pelajar bawah Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-UNITEN di bawah tajaan Tabung Amanah Zakat UNITEN.

Terdahulu, seramai 215 pelajar menerima anugerah kecemerlangan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan SPM.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018 dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Turut hadir, Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry.

Sementara itu, Amirudin memuji dan melahirkan rasa gembira dengan pencapaian cemerlang pelajar tajaan Yayasan Selangor, khususnya pelajar MITS dan sekolah rendah agama integrasi (SRAI).

"Dalam anugerah hari ini (14 Julai), kita dapati antara pelajar cemerlang yang terima anugerah adalah dari MITS. Ini bermakna, mereka mampu bersaing bersama pelajar akademik lain dengan kelebihan menghafal 30 juzuk al-Quran.

"Justeru, saya percaya jika maahad tahfiz boleh gabungkan semua elemen pendidikan fizikal dan akademik, ia juga mampu menjana kecemerlangan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018.

Amirudin (tengah) di majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018, di Kelab Shah Alam.

Tiga pelajar terbaik, Muhammad Asraf (tiga, kiri), Muhammad Irham (lima, kiri) dan Tan Jia Xuan (kanan) mengambil kesempatan berkongsi rahsia kejayaan bersama Amirudin (empat, kiri).

Pelajar SMK Tun Perak, Tan Jia Xuan (dua, kanan) dinobatkan Pelajar Terbaik SPM Program HIPERS.

Pelajar SMK Seri Bintang Utara, Muhammad Asraf (tiga, kanan) dipilih Pelajar Terbaik SPM Aliran Kebangsaan.

 

INFO

- Pelajar Terbaik SPM Aliran Kebangsaan - Muhammad Asraf Roslan (SMK Seri Bintang Utara)

- Pelajar Terbaik SPM Program Pelajar Berpotensi Tinggi (HIPERS) - Tan Jia Xuan (SMK Tun Perak)

- Pelajar Terbaik Kokurikulum Menengah Rendah (Lelaki) - Izzuddin Hassanazhari (MITS Sepang)

- Pelajar Terbaik Kokurikulum Menengah Rendah (Perempuan) - Nur Nabihah Mohd Naim (MITS Sepang)

- Pelajar Terbaik Kokurikulum Menengah Atas (Lelaki) - Abdul Rashid Azizul (MITS Sabak Bernam)

- Pelajar Terbaik Kokurikulum Menengah Atas (Perempuan) - Fatini Nasuha Ahmad Puad (SAM Bestari)

- Guru Penyelaras Terbaik Program Hipers (Sekolah Rendah), Norzirah Ismail (SK Sungai Merab Luar)

- Guru Penyelaras Terbaik Program Hipers (Sekolah Menengah), Alina Deraman (SMK Bandar Tasik Puteri)

- Guru Penyelaras Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor - Nur Khasanah Ulfah Mohamad Anuar (MITS Klang)

- Sekolah Terbaik Program Hipers Sekolah Rendah, SRAI Seksyen 19, Shah Alam

- Sekolah Terbaik Program Hipers Sekolah Menengah, SMK Bandar Tasik Puteri

- Sekolah Terbaik Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor, SAM Bestari

INFO

- Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor - Pelajar Tingkatan Satu hingga Lima

Merupakan kerjasama Yayasan Selangor dengan Kementerian Pelajaran (KPM) untuk menempatkan dan menaja pelajar di sekolah terpilih dari Tingkatan Satu sehingga Lima

- Pelajar Berpotensi Tinggi (HIPERS)

Melonjakkan pencapaian pelajar luar bandar/pinggir bandar yang berpotensi meneruskan pendidikan ke sekolah terpilih seperti sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Kumpulan Koir Asrama Yayasan Selangor Klang (AYSK) diberi peluang membuat persembahan pembukaan majlis.

Kumpulan Gamelan Gemersik Perunggu AYSK yang membuat persembahan.

ARTIKEL MENARIK:

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi

'Tak sangka pergi pun bersama... ibu sebak cerita rutin harian anak-anaknya mengaji al-Quran'

Tip skor A Matematik UPSR - Mak ayah wajib ambil tahu perkara ini

Lonjak B dan C menjadi A - Guru Tahun Enam ini kongsi tip berkesan belajar saat akhir

Guru pakar Sains, Cikgu Zazolnizam kongsi tip mudah lulus Sains (MULUS) UPSR