SHAH ALAM -  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menggunakan kaedah penilaian dan pentaksiran keputusan Peperiksaan Pertengahan dan Akhir Tahun serta Pentaksiran Berasaskan sekolah bagi peperiksaan kelolaannya yang dibatalkan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata bagi peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) yang dibatalkan, JAIS akan membuat penilaian melalui keputusan Peperiksaan Pertengahan dan Akhir Tahun bagi tiga tahun berturut-turut bermula dari Tahun Tiga hingga Tahun Lima.

"Penilaian turut akan dilakukan melalui keputusan mata pelajaran Bahasa Arab, laporan pencapaian Integrated Holistic Assessment Board (IHAB), aktiviti Ko-kurikulum dan Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

"Seramai 41,064 pelajar terlibat dalam penilaian ini yang akan diguna pakai bagi permohonan kemasukan murid ke tingkatan satu sekolah Agama Menengah (SAM) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) di bawah kelolaan kerajaan negeri Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shahzihan berkata bagi peperiksaan Pentaksiran Hafazan Al-Quran yang turut dibatalkan, ia akan diganti dengan kaedah Pentaksiran Berasaskan sekolah.

Bagi  Peperiksaan Menengah Sijil Menengah Agama, Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah yang ditangguhkan sebelum ini pula, Mohd Shahzihan berkata peperiksaan itu akan dijalankan pada tarikh baharu pada suku pertama tahun hadapan serta diuji mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran setiap mata pelajaran.

"Sijil KAFA Menengah juga dibatalkan pada tahun ini dan calon-calon yang dijadual menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun ini akan mengambil peperiksaan itu bersama-sama calon pada tahun 2021," katanya.

Mohd Shahzihan berkata perubahan itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan telah diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Bernama

Artikel menarik:

'Fun Learning' bantu golongan istimewa belajar elak jemu, bosan dan penat murid

Guru pendidikan khas kongsi tip tarik minat murid berkeperluan khas belajar secara online

Projek STEM 3 guru bahasa Inggeris ini menang pertandingan antarabangsa bawa pulang geran RM45,000