SHAH ALAM - Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membuat keputusan mengekalkan keputusan supaya pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai tahun 2020 diteruskan.

Kementerian Pendidikan (KPM) bagaimanapun berkata, ia hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJKC dan SJKT.

“Mesyuarat Jemaah Menteri turut menetapkan supaya tulisan jawi dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid Tahun Empat mulai tahun 2020, murid Tahun Lima pada tahun 2021 dan murid Tahun Enam pada tahun 2022 di SJK,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Sementara itu, KPM juga menegaskan bahawa di sekolah kebangsaan ia akan diteruskan seperti biasa.

“Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan jawi dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks. Mereka juga secara sepakat mengekalkan keputusan agar pengenalan tulisan jawi tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan,” katanya.

Justeru, KPM berharap melalui keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri ini, isu pengenalan tulisan jawi di SJK tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

“KPM dari masa ke masa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara,” katanya.

Artikel berkaitan:

Maszlee jawab 10 soalan mengenai isu tulisan jawi dan seni khat yang akan diperkenalkan di sekolah

'Jangan ada pusingan U, teruskan perkara baik ini' - Kisah menarik Datuk Jalil dan jawi

'Tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bukan perkara baharu, hentikanlah kontroversi'

'Takkan hilang adat resam bangsa lain dengan belajar jawi' - Guru Besar SK Sokor

Isu tulisan jawi: Kerajaan akan timbang saranan perkenal kaligrafi lain di sekolah