Rawang - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 2 menyeru orang ramai untuk datang ke Karnival Jogathon Ahad ini.

Yang Dipertua PIBG SK Taman Bunga Raya 2, Tarmizi Hasim berkata, karnival yang dianjurkan dengan kerjasama pihak sekolah bertujuan menambah tabung PIBG bagi menampung perbelanjaan aktiviti pelajar.

"Karnival ini bermula 7 pagi hingga 2 petang di SK Taman Bunga Raya 2.

"Kami sasarkan seramai 400 orang menyertai acara ini dengan empat kategori iaitu, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Dewasa dan Veteran," katanya.

Katanya, setiap keluarga seorang anak sahaja yang bersekolah disini diberi kad jogathon dan dianggarkan seramai 1,000 ke 1,500 keluarga yang datang ke karnival ini.

"Kami mendapat sumbangan wang, hamper daripada orang perseorangan, kedai, pasar raya, surau dan masjid kawasan sekitar," katanya.

Antara aktiviti yang diadakan adalah Larian Jogathon, Soopa Doopa, Menembak (Nerf Gun), Menunggang Kuda dan banyak lagi.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Tuan Harumaini Omar.

“Saya berharap penduduk sekitar dapat datang beramai-ramai ke kanival ini sambil mengamalkan konsep membeli sambil menyumbang ke tabung PIBG.

"Kepada yang belum memberi sumbangan dan berhasrat untuk menghulurkan sumbangan kaunter dan tabung khas akan disediakan pada hari program,” katanya.