KUALA LANGAT - Mengimbau kenangan manis bersama anak sulungnya, Nur Salsabila, 15, bapa mangsa, Mohd Fakrul Khair Baharin, 41, berkata, anaknya itu sering mengajaknya untuk berlumba makan.

“Bila kenang detik itu, saya sedih sampai menitiskan air mata, biarlah isteri yang menceritakan gelagat anak-anak kami.

“Kami memang rapat.. sehinggakan makan pun kami sanggup berlumba,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Banting semalam.

Mohd Fakrul yang masih hiba dengan mata yang sedikit merah itu berkata, dia tidak sangka setelah menerima tempahan dari Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang untuk menyediakan makanan bagi anggota bomba yang memadamkan kebakaran kilang kimia di Pelabuhan Klang itu, dia berdepan dengan detik hitam.

Menurutnya, dia dan isteri reda dengan pemergian kedua-dua anak perempuan mereka.

Dalam pada itu, keluarga mangsa turut menerima kunjungan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar di Hospital Banting.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu turut hadir memberi sokongan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kebakaran. 

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Tak sangka pergi pun bersama... ibu sebak cerita rutin harian anak-anaknya mengaji al-Quran']

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Semoga adik-adikku tenang di sana' - Calon SPM SMK Batu Laut]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Dua beradik sering menjadi tumpuan di sekolah kerana suka membantu' - Guru]