KLANG: Meskipun mempunyai kekurangan dalam pembelajaran, murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama, di sini, terus membukti kebolehan mereka apabila mengambil bahagian dalam aktiviti menghasilkan 120 balang kuih raya untuk warga sekolah berkenaan.

Menariknya, kuih raya yang dihasilkan oleh murid PPKI itu akan diagihkan kepada murid program itu sendiri ketika majlis penutup Ihya Ramadan PPKI.

Penolong Kanan PPKI SK Taman Klang Utama, Nor Len Sudar, berkata tujuan pelaksanaan aktiviti itu adalah bagi mendedahkan murid PPKI mengenai perkara asas dalam bidang bakeri.

“Dengan bimbingan guru kelas, mereka dapat merasai sendiri pengalaman membuat kuih raya seperti cip coklat yang mungkin selama ini mereka hanya pernah makan tetapi tidak pernah menghasilkannya.

“Selain itu, pengalaman mengendalikan peralatan seperti ketuhar dan mesin penguli tepung juga diajar dengan pengawasan guru dan Penolong Pembantu Murid (PPM),” katanya.

Seramai 50 murid PPKI terbabit dalam program menghasilkan kuih raya itu yang terdiri daripada mereka yang menghadapi masalah pembelajaran, austism dan cerebral palsy.

Menurut Nor Len lagi, pihaknya memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan menjalankan aktiviti itu sewaktu mata pelajaran Kemahiran Hidup mengikut silibus dan pembabitan 10 murid bagi satu masa.

“Guru terbabit akan menyediakan bahan dan memastikan murid PPKI menerima arahan seperti menyediakan bahan, mengadun, membentuk, membakar sehinggalah membungkus 120 balang kuih untuk diagihkan nanti.

“Melihat kepada maklum balas yang diterima daripada murid-murid, ternyata mereka begitu seronok setiap kali sesi ini dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Klang Utama, Khalimi Dalhan, berkata pihaknya berbesar hati melihat usaha yang diambil oleh guru PPKI bagi mendedahkan pembelajaran kemahiran menghasilkan kuih kepada murid program itu.

“Ternyata aktiviti seperti ini mampu meningkat kemahiran motor murid PPKI selain bertujuan sebagai aktiviti pengisian sempena dengan Program Ihya Ramadan bagi peringkat PPKI sekolah.

"Di akhir Ramadan nanti, kuih raya yang mereka hasilkan dapat mereka bawa balik dan berkongsi dengan ahli keluarga lain,” katanya.

Artikel menarik

Jual pes oden segera, usahawan pelajar UMK sasar jualan RM1 juta

Pemansuhan UPSR! Bagaimana murid-murid dinilai? Ini pandangan Cikgu Muhammad Rauf