Shah Alam - Tular dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengenai guru bukan opsyen perlu ambil Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), ini sebenarnya yang dinyatakan beliau kepada media dalam lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ridwan, Perak semalam.

Nie Ching berkata, Selain Guru Bahasa Inggeris, guru bukan opsyen Bahasa Inggeris juga digalakkan mengambil MUET bagi melayakkan mereka mengajar mata pelajaran itu.

"Guru lain berpeluang mengajar mata pelajaran itu (Bahasa Inggeris) sekiranya mencapai tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan 'Common European Framework of Reference for Languages' (CEFR) melalui MUET," katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) MENGGALAKKAN mana-mana guru bukan opsyen Bahasa Inggeris mengambil MUET bagi membolehkan mereka menukar opsyen mengajar sekiranya berlaku kekurangan guru Bahasa Inggeris di sesebuah sekolah.

Kata beliau, kerajaan berhasrat memastikan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru Bahasa Inggeris cukup baik dan sekiranya ada dalam kalangan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris yang berkelayakan, ia memberi nilai tambah kepada sekolah.

"Kalau kita menggunakan kelayakan CEFR, guru-guru bahasa Inggeris yang mengajar di sekolah rendah dan menengah diwajibkan mencapai tahap penguasaan minimum C1, manakala bagi pensyarah institusi pengajian tinggi perlu mencapai C2.

"Inisiatif ini turut membolehkan kementerian mengenal pasti guru Bahasa Inggeris yang benar-benar berkelayakan dan memiliki tahap penguasaan bahasa itu amat baik walaupun mereka sebelum ini mengajar opsyen yang berlainan," katanya kepada media dalam lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ridwan di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Speaker Parlimen, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Taiping, Teh Kok Lim.

Nie Ching berkata, setakat ini, KPM hanya menggalakkan guru Bahasa Inggeris untuk mengambil peperiksaan MUET dan BELUM MEWAJIBKANNYA. 

Menurutnya, mana-mana guru Bahasa Inggeris didapati mencapai tahap penguasaan bahasa itu yang kurang memuaskan, kerajaan bersedia memberikan pelbagai kursus dan latihan secara praktikal atau atas talian bagi meningkatkan tahap penguasaan mereka.

"Inisiatif ini juga merupakan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam memastikan generasi pelajar masa hadapan mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris amat memuaskan," katanya.

Terdahulu, arahan supaya guru mengajar Bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling pada 14 April lalu, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa itu yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut arahan pekeliling berkenaan, semua guru opsyen Bahasa Inggeris juga perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan C.

Peperiksaan MUET itu juga perlu dilakukan sebelum hujung Disember tahun ini dan dibuat dengan pembiayaan sendiri.

Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kenyataannya kelmarin, tidak bersetuju dengan arahan pekeliling itu atas alasan menekan dan membebankan guru Bahasa Inggeris.

Artikel berkaitan:

Guru bukan opsyen Bahasa Inggeris perlu ambil MUET

NUTP tidak setuju guru Bahasa Inggeris duduki MUET

Pertimbang keputusan minta guru Bahasa Inggeris ambil MUET