Selaras dengan dasar Sekolah Milik Masyarakat, pihak pentadbir sekolah disaran mengamalkan sikap lebih terbuka dan berlapang dada dengan penglibatan pihak berkepentingan seperti komuniti setempat dan sektor swasta.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail berkata, pihak sekolah juga diminta menubuhkan jawatankuasa  Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) di peringkat sekolah bagi menggerakkan usaha kerjasama kedua-dua pihak dengan lebih efektif sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak.

Katanya, di peringkat daerah pula, pegawai pendidikan daerah diharap dapat menggerakkan inisiatif itu dengan menjadikan PIBKS peringkat daerah sebagai rakan strategik bagi menjayakan pelbagai program secara bersama.

“Saya percaya rakan-rakan dalam PIBKS ini sedia membantu pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam usaha menjadikan sekolah dan PPD  terus melakarkan kecemerla-ngan. Malah kerjasama erat ini akan dapat membantu mengatasi halangan dan menyelesaikan banyak masalah kelak.

“Keprihatinan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta juga telah banyak membantu terutama ketika pihak sekolah berdepan cabaran Covid-19, bahkan  banyak sumbangan berbentuk kewangan dan material yang turut diterima pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Gerakan Massa: #TerimaKasihCikgu di sini baru-baru ini. Program itu diadakan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 19 April ini.

Turut hadir Timbalan Pe-ngarah Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Abdul Aziz Abdul Jalil yang juga Pengurus Program PIBKS Negeri Selangor; Focal Person PIBKS Negeri Selangor, Muhamed Saufi Shafie dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman.

Bersempena majlis itu juga, JPN Selangor menyerahkan surat pelantikan Rakan Strategik Pendidikan PIBKS kepada Sinar Harian menerusi meja pendidikannya yang dikenali sebagai GPSBestari dan pelancaran simbolik Gerakan Massa: #TerimaKasihCikgu kepada 10 PPD di seluruh Selangor.

Kira-kira 120 peserta yang terdiri daripada pegawai pendidikan daerah, wakil Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hadir bagi memeriahkan majlis pelancaran Gerakan Massa: #TerimaKasihCikgu.

Pelbagai aktiviti dirangka di bawah inisiatif Gerakan Massa: #TerimaKasihCikgu dalam usaha menghargai sumbangan guru-guru di Selangor. Ini termasuklah Program Ziarah Prihatin kepada guru-guru yang kurang bernasib baik serta Program Ziarah Cakna Pendidikan membabitkan murid-murid dalam kategori miskin bandar.

Gerakan Massa: #TerimaKasihCikgu dimulakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai tanda penghargaan kepada semua warga guru yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara. Ia dilancarkan secara rasmi oleh KPM pada 28 Mac lalu.

Sementara itu, Rozaid berkata, Sinar Harian melalui bahagian pendidikan GPSBestari akan melancarkan program Akhbar Dalam Darjah yang berbeza pendekatannya.  

Katanya, Akhbar Dalam Darjah itu bukan sahaja berasaskan peperiksaan tetapi juga mengutamakan dan meningkatkan kemahiran pelajar.

“Memandangkan GPSBestari mempunyai pakar dalam bidang penerbitan, justeru itu kami akan menggunakan kepakaran untuk bersama-sama membantu JPN Selangor dalam melahirkan pelajar yang berilmu dan berkemahiran tinggi.

“Penerbitan Akhbar Dalam Darjah ini juga dilihat bertepatan dengan pemilihan Sinar Harian sebagai rakan strategik PIBKS yang akan membuka ruang kerjasama dengan pihak JPN Selangor,” katanya.

Beliau berkata, selain bakal menerbitkan Akhbar Dalam Darjah, GPSBestari juga mempunyai portal, media sosial dan program-program video berunsurkan pendidikan yang diyakini sebagai rujukan para guru, ibu bapa dan para pelajar.  

“Sebagai rakan strategik, saya yakin kita akan dapat menjalin kerjasama yang sangat baik dengan pihak JPN Selangor, pengetua, guru besar, guru-guru, PIBG dan rakan-rakan strategik yang lain untuk turut sama bergandingan bahu dalam menjayakan matlamat melahirkan generasi yang pintar dan juga berkemahiran,” kata beliau.

Artikel menarik

Amalan pemakanan sihat semasa Ramadan, guru, ibu bapa dan pelajar boleh jadikan ini sebagai rujukan

Ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pentadbir, mohon jadikan panduan