SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) melancarkan program Sinar Kasih dalam usaha memberi akses pendidikan kepada golongan yang memerlukan.

Program hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Management & Science University (MSU) itu berkonsepkan 'home coaching' khusus buat pelajar sekolah menengah yang mengidap penyakit kronik dan kelainan upaya (OKU).

Pengarah Program Sinar Kasih, Norlin Shamsul Bahri berkata, inisiatif tersebut juga berperanan bagi membantu pelajar berkenaan dalam aspek khidmat nasihat, kaunseling dan sebagainya.

“Tujuan kami adalah untuk memberi perhatian mendalam kepada pelajar yang terlepas pandang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program berkenaan yang disempurnakan Yang Dipertua (YDP) Kasih Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di MSU Shah Alam, kelmarin.

Mengulas lanjut, program itu akan memberi perhatian khusus kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kerjasama Ahli Parlimen di kawasan mereka.

“Pelajar menghadapi masalah ini akan dipantau sehingga menduduki SPM, jika perlu sebarang rawatan kesihatan, mereka akan sambung pembelajaran di hospital.

“Untuk memastikan keberkesanan Kasih, kerjasama dengan pihak MSU untuk melatih guru dapat menyesuaikan diri dan dapat untuk menangani emosi ketika mengajar,” ujarnya.

Dr Siti Hasmah berkata, Sinar Kasih merupakan program yang mulia disebabkan objektif program itu dalam memberi perhatian kepada pelajar mempunyai masalah tidak sihat dan miskin ingin meneruskan pembelajaran.

“Kita perlu tahu bahawa mereka menghidapi sakit kronik, tetapi mereka juga ingin mendapatkan pelajaran, ingin mencapai cita-cita dan juga ingin menjadi seperti kawan-kawan mereka yang lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, MSU akan memberikan kerjasama penuh kepada Kasih Malaysia untuk meneruskan Program Sinar Kasih.

“Kami amat berbesar hati dapat membantu Kasih Malaysia menjayakan Program Sinar Kasih kerana ia selari dengan falsafah MSU untuk memberi akses pendidikan kepada semua masyarakat.

“Konsep memberi perhatian lebih kepada masyarakat yang menghadapi masalah adalah penting dan menerusi kepakaran yang ada, kami (MSU) akan membantu mereka.

“Saya berharap kepakaran kami memberi impak yang besar kepada pelajar dan berharap kerjasama ini mendatangkan manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.

 Dr Siti Hasmah berucap pada Majlis Pelancaran Program Sinar Kasih.

Artikel menarik:

YPKDT gilap potensi pelajar menerusi Pro-Seed, Pro-Mis

Peratus pelajar ponteng meningkat 4.7 peratus sejak 2014 berikutan penggunaan SSDM

Ini senarai biasiswa yang masih dibuka untuk lepasan SPM mohon

Calon SPM SMK Laksamana maut kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah

Cikgu, budimu kubawa mati! - Tulisan Datuk Jalil yang menyentuh hati