SHAH ALAM: Cadangan mengenakan tindakan kompaun kepada pihak sekolah sekiranya didapati wujud kluster baharu Covid-19 kerana mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah tidak wajar dan menganiaya guru serta pentabdir.

Pendapat itu disuarakan guru-guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melalui ciapan di akaun Twitternya pada Khamis.

Bagi guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Seremban, Huzey Hazrey, berpendapat adalah tidak adil untuk mengenakan kompaun kepada pihak sekolah kerana jangkitan bukan berpunca dari dalam sekolah sebaliknya di luar sekolah.

"Seperti kes di sekolah saya, murid berkenaan mendapat jangkitan melalui pemandu van bas sekolah dan dia tidak menyedari sudah dijangkiti kerana tidak mempunyai sebarang gejala dan tetap hadir ke sekolah.

"Adakah situasi ini wajar dipersalahkan kepada pihak sekolah? Sudah tentulah tidak kerana jangkitan di luar sekolah adalah luar kawalan guru-guru dan pentabdir sebaliknya murid dan ibu bapa sendiri yang perlu memainkan peranan supaya setiap SOP dipatuhi," katanya kepada GPS Bestari.

Gambar hiasan daripada internet.

Berhubungan penutupan sekolah kerana jangkitan Covid-19, Huzey berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan garis panduan yang selaras untuk semua sekolah mengambil tindakan sekiranya ada kes yang direkodkan di sekolah.

"Sebelum ini, ada sekolah yang berada di zon merah tetap bersekolah seperti biasa walaupun ada pelajar yang dijangkiti manakala ada sekolah zon merah di negeri berlainan pula diarah tutup kerana situasi sama.

"Tidak ada penyelarasan dalam prosedur untuk menutup sekolah ini. Sepatutnya jika sekolah sudah ada kes jangkitan, tutup dahulu untuk proses sanitasi dan murid boleh meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) seperti sebelum ini," katanya.

Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, cadangan mengenakan kompaun itu sudah bincangkan dalam mesyuarat 'task force' yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata, cadangan tindakan kompaun adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab dalam menyekat penularan jangkitan Covid-19 termasuk di kawasan sekolah.

Sementara itu, guru yang mengajar di sekolah di Langkawi, Nurin Najwa Irdina Hamshah, turut berpendapat bahawa cadangan itu adalah sesuatu yang tidak wajar sama sekali kerana jangkitan boleh juga terjadi di luar sekolah.

"Sebagai guru yang turut bertugas dalam memastikan pematuhan SOP di sekolah diikuti sepenuhnya, saya dapat melihat murid dan guru-guru memang patuh dengan SOP ketika beradi di kawasan sekolah.

"Proses penyuraian murid ketika pulang dari sekolah juga dibuat dengan mematuhi penjarakan fizikal dan SOP yang ditetapkan. Pihak sekolah sudah mencuba sehabis baik dalam menangani Covid-19 dan adalah sangat tidak wajar jika meletakkan kesalahan itu kepada pihak sekolah semata-mata," kata beliau.

Gambar hiasan daripada internet.

Perkara sama turut dipersetujui Ahli Jawatankuasa Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Selangor, Datuk Ruslee Hashim yang juga Yang Dipertua PIBG, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor.

Ruslee berpendapat pihak berwajib sepatutnya turun memantau terlebih dulu di sekolah-sekolah mengenai pelaksanaan yang dibuat bagi mematuhi SOP yang ditetapkan, bukannya menghukum pihak sekolah.

"Kami mengalu-alukan sebarang usaha membantu penambahbaikan pematuhan SOP di sekolah termasuklah menyediakan peruntukan untuk membantu pihak sekolah menyediakan kelengkapan bagi memastikan setiap SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi sepenuhnya.

"Pada masa ini, kerjasama daripada semua pihak adalah lebih penting daripada menghukum. Oleh itu, saya berpendapat cadangan itu adalah tidak wajar kerana ia akan memberikan tanggapan negatif masyarakat kepada kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 ini," ujar beliau.

Mazslee turut berpendapat keputusan itu menganiaya guru-guru dan pemimpin sekolah kerana beliau yakin pihak sekolah telah melakukan sebaik mungkin untuk mengikuti SOP yang ditetapkan.

"Siapa yang mahukan guru dan muridnya terdedah kepada Covid-19? Risikonya nanti ada sekolah yang tidak tutup kerana takut dikompaun walupun ada kes," kata beliau.

Artikel menarik

Kedudukan UiTM melonjak naik, kini berada pada kedudukan 101-200 dunia
UMK temui batuan bernilai tinggi melalui program International Geomapping Jeli 2021