SHAH ALAM - Seramai 1,959 graduan daripada 90 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-27 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 955 graduan menerima ijazah sarjana muda, diploma (914), ijazah sarjana (68) dan ijazah doktor falsafah atau PhD (22) menerima skrol masing-masing mengikuti prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, majlis konvokesyen pada kali ini mencerminkan komitmen universiti dalam berdepan pandemik Covid-19 yang mengubah aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Dalam hal itu, MSU juga turut melakukan perubahan bagi memastikan kita sentiasa bersedia untuk proses PdP secara bersemuka dan dalam masa yang sama turut melaksanakan kaedah pembelajaran secara maya dalam setiap program pengajian di universiti.

"Majlis pada kali ini juga menyaksikan kelainan apabila dianjurkan dalam tempoh pandemik dan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan selepas tertangguh sejak Oktober tahun lalu tetapi saya yakin situasi yang melanda ini memberikan kesan yang positif jika kita sentiasa berkerja keras untuk mengatasi sebarang cabaran yang mendatang," katanya kepada media selepas sidang pertama konvokesyen di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.

Graduan yang menerima anugerah khas kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen MSU ke-27.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shukri berkata, penganugerahan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa (Kepujian), Sharul Ikmal Mohd Sukkeri yang juga pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pada kali ini mencerminkan komitmen MSU dalam menyediakan akses pendidikan yang terbuka kepada semua tanpa mengira warna kulit, agama, keupayaan dan juga jantina.

"Tidak kira apapun kekurangan yang dimiliki, di MSU anda mampu menjadi yang terbaik dan anugerah yang diterima Sharul Ikmal adalah bukti setiap orang mampu berjaya sekali gus mencerminkan komitmen yang ditunjukkan universiti dalam menyediakan pendidikan yang sama rata kepada semua lapisan masyarakat.

"Dalam pada itu, bagi membantu golongan pelajar yang kurang bernasib baik, universiti turut menyediakan dana tambahan bagi memberikan biasiswa kepada lebih ramai pelajar MSU yang layak melalui Yayasan MSU malah universiti turut menjalinkan kerjasama dengan 42 yayasan lain bagi menyokong usaha ini," katanya.

Danish Haikal dipilih sebagai penerima Anugerah Presiden.

Majlis Konvokesyen MSU ke-27 turut menyaksikan graduan Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif (Kepujian), Danish Haikal Asman dan graduan Diploma Perakaunan, Mekhavathanie A/P Maratha Pillai dipilih sebagai penerima Anugerah Presiden.

Anugerah Mohd Shukri Yajid Outstanding Award pula menjadi milik Proveen Krishnan A/L Eavi Krishanan manakala 32 graduan menerima Anugerah Akademik dan 18 lagi dipilih sebagai penerima Anugerah Industri.

Majlis Konvokesyen MSU ke-27 berlangsung dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan MKN dan KKM.

Sementara itu, Sharul Ikmal berkata, beliau tidak menjangka akan terpilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor dan sangat berterima kasih serta berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan MSU itu.

"MSU adalah sebuah universiti yang menyediakan pendidikan yang lengkap dan seimbang, bukan berasaskan kepada teori semata-mata sebaliknya memberi peluang kepada semua pelajar untuk meneroka potensi diri melalui pelbagai aktiviti di dalam dan luar negara.

"Pelajar OKU seperti saya tidak merasa kekurangan apabila belajar di sini kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat daripada rakan-rakan dan pensyarah sekali gus menyebabkan saya terus memilih MSU untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana yang dijangka bermula pada April ini," katanya yang pernah menerima Anugerah Akademik pada Majlis Konvokesyen MSU ke-23.

Artikel menarik

Ini skop tugas Pembimbing Rakan Sebaya di sekolah, ada 16 kesemuanya!

Jangan semberono pilih kursus pengajian di universiti, ikuti tip ini untuk dijadikan panduan