SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menyatakan dua perkiraan asas yang perlu semua tahu tentang bermulanya Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang baharu bermula tahun hadapan.

"Ada yang bertanya kepada saya, apa perubahan baharu untuk anak-anak kita di Tingkatan 4 tahun hadapan.

"Sebenarnya ramai yang lupa, tahun 2020 adalah permulaan kepada kurikulum baharu KSSM, seperti yang telah dijadualkan sekian lama.

"Ada dua perkiraan asas yang perlu kita semua faham mengapa dengan bermulanya KSSM yang baharu ini, perubahan ketara boleh dinikmati anak-anak kita nanti," katanya pada laman Facebook milik beliau pagi ini.

Menurutnya, pertama, Kementerian Pendidikan (KPM) ingin memastikan bahawa bakat anak-anak kita tidak disia-siakan.

"Saya percaya ramai dari kalangan anak-anak kita mempunyai kecenderungan yang pelbagai dan mereka perlu dilatih untuk membuat pilihan mengikut kemampuan mereka.

"Anak-anak kita sangat hebat. Ada dari kalangan mereka misalnya sangat meminati Matematik, tetapi dalam masa yang sama mereka mahu belajar tentang kesusasteraan Melayu.

"Ada juga dari kalangan mereka yang ingin belajar bahasa kedua yang lain seperti bahasa Iban, bahasa Semai atau bahasa Perancis, dalam masa yang sama memilik kecenderungan bermain Coding dan membaiki mesin-mesin," jelas beliau.

Kata beliau lagi , yang penting, mereka perlu diberikan ruang untuk memilih. Dan itulah sebenarnya pendidikan, pemberian ruang dan peluang untuk anak-anak kita memilih.

"Kedua, dunia berubah. Di zaman yang ruwet dengan pelbagai teknologi ini, kita perlu mula mempersiapkan anak-anak kita dengan pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya.

"Selain dari mereka perlu menguasai Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, mereka perlu mula terdedah dengan mata pelajaran yang berbentuk kemahiran seperti Reka Bentuk Industri, Reka Bentuk Grafik, Multimedia dan sebagainya.

"Jadi sejak dari sekolah menengah lagi, anak-anak kita sudah mempunyai kesepaduan pengetahuan dan kemahiran yang cukup, sebelum mereka meneruskan perjalanan ke universiti," katanya.

Selain itu, katanya, melalui sistem baharu ini juga, KPM ingin memberitahu anak-anak kita bahawa pendidikan bukan tentang melihat siapa lebih atas dari siapa.

"Pendidikan ialah soal membuat pilihan yang terbaik untuk masa depan sendiri.

"Pendidikan ialah terus memperbaiki diri, menambah ilmu dan mengaut sebanyak mungkin kemahiran yang ada.

"Selamat membuat pilihan dan selamat melukis masa depan buat anak-anak kohort pertama Tingkatan 4 tahun 2020," katanya.

Artikel lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

Pakej mata pelajaran menengah atas mulai tahun 2020