Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di sekolah dikhuatiri bakal mencetuskan gelombang keempat pandemik itu di Malaysia sekali gus memaksa lebih banyak sekolah ditutup dengan pelajar kembali mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang dianggap menyusahkan.

Semalam saja menyaksikan 19 sekolah di Selangor terpaksa ditutup kerana mencatatkan kes jangkitan Covid-19 di sekolah terbabit manakala seramai 159 pelajar daripada lima sekolah di Johor Bahru diarahkan menjalani saringan.

Memetik laporan Sinar Harian pada hari ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) bagaimanapun memaklumkan bahawa guru-guru sentiasa bersedia melaksanakan PdPR sekiranya berlaku gelombang keempat kes Covid-19.

Bagaimanapun, sejauh manakah kesediaan guru-guru dalam berdepan situasi itu di mana mereka perlu kembali kepada PdPR berbanding pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka?

Berdasarkan perkongsian yang dibuat di Facebook Kami Guru Malaysia dan TcherCollection-TC, kebanyakan warga pendidik mahu sistem penggiliran sesi persekolahan dibuat bagi mengurangkan kesesakan di sekolah sekali gus membolehkan PdP secara bersemuka masih boleh dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Rata-rata juga berpendapat penutupan sekolah hanya perlu dibuat membabitkan sekolah yang mempunyai kes Covid-19 atau berada dalam lokaliti yang mencatatkan kes tinggi tetapi dalam masa yang sama tetap akur sekiranya perlu menjalankan PdPR untuk pelajar sekolah yang terjejas Covid-19 demi keselamatan semua pihak.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Memetik beberapa pandangan daripada warga maya dalam dua laman Facebook berkenaan, di sini GPS Bestari kongsikan beberapa sebab kerana ramai guru-guru lebih memilih proses PdP bersemuka berbanding PdPR.

1) Proses PdP di sekolah membolehkan guru memantau penguasaan murid terhadap subjek yang diajar berbanding PdPR kerana terdapat segelintir murid yang tidak dapat menyertai kelas secara atas talian kerana masalah kekurangan peralatan atau capaian internet

2) PdP bersemuka memberikan lebih kepuasan bekerja kepada guru-guru kerana mendapat respon daripada murid secara berdepan tambahan pula, beban kerja dapat diselesaikan di sekolah berbanding PdPR yang agak rumit dan mengambil masa untuk membuat persiapan video sebagai bahan mengajar.

3) Guru-guru sudah dilatih dengan kemahiran mengajar secara bersemuka berbanding PdPR yang mana kebanyakan warga pendidik masih lagi bertatih dalam menguasai teknologi yang digunakan untuk melaksanakan pengajaran konsep baharu itu.

4) PdP di sekolah membabitkan penyertaan maksimum murid-murid manakala PdPR sering berdepan masalah kehadiran murid kerana sikap sambil lewa segilintir murid yang beranggap penutupan sekolah adalah waktu untuk mereka bercuti atau ketiadaan gajet menyebabkan mereka tidak dapat hadir untuk sesi kelas secara atas talian.

Tidak kiralah apa jua kaedah PdP yang perlu digunakan dalam memastikan proses menuntut ilmu terus berjalan, ia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat termasuklah guru, murid, ibu bapa dan pentadbir.

Artikel menarik

Cikgu Herryan Syah kongsi 23 cara memulakan PdPC. Guru-guru boleh ambil ini sebagai sumber rujukan

Adab-adab yang perlu dijaga ketika berpuasa. Guru dan pelajar mohon jadikan ini sebagai panduan