Kehadiran 944 murid prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam, Shah Alam, Selangor pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka Isnin lalu disambut dengan maskot watak adiwira Spiderman, Ultraman serta Ironman.

Yang Dipertua PIBG SK Setia Alam, Zairul Ermady Mohd Shahali berkata, idea pelaksanaan tersebut dicetuskan sendiri guru besar sekolah, Mohd Fadzli Abd Rahman dengan matlamat menceriakan suasana dan meningkatkan keseronokan murid ke sekolah.

Menurutnya, peratusan murid hadir ke sekolah juga tinggi dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ibu bapa dan murid yang amat baik.

“Memandangkan ibu bapa tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah untuk menemani anak-anak mereka, justeru, maskot adiwira ini dapat bantu ceriakan suasana dan mengurangkan keresahan murid yang baru pertama kali ke sekolah.

“Alhamdulillah, semua pihak memberi kerjasama yang baik dan patuh dengan SOP ditetapkan, malah murid kelihatan teruja kembali ke sekolah setelah sekian lama menjalani PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah),” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Tambah Zairul Ermady lagi, menariknya, ibu bapa juga berpeluang mengikuti perkembangan dan memahami proses pembelajaran anak-anak mereka pada hari pertama persekolahan menerusi perkongsian secara langsung di laman Facebook PSs SK Setia Alam.

“Ibu bapa memberi maklum balas positif kerana dapat mengetahui situasi semasa pembelajaran murid di sekolah di mana perkongsian merangkumi daripada kedatangan murid di pintu pagar, aktiviti murid dalam bilik darjah, proses agihan makanan dan sebagainya.

“Pihak sekolah juga merakamkan penghargaan terima kasih kepada anggota polis dari Balai Polis Setia Alam dan anggota rela yang bersama-sama membantu kami bagi memastikan kelancaran hari pertama persekolahan,” katanya.