SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik semalam memberi pencerahan mengenai isu tulisan jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Dalam kenyataannya, beliau menjawab 10 soalan berhubung isu tersebut.

1. Apakah yang berlaku?

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan) bagi subjek Bahasa Melayu tahun empat telah diperkenalkan seni khat sebagai pengisian tambahan.

2. Apakah tujuan pengenalan tulisan ini dilakukan?

Ia dilaksanakan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah Bahasa Melayu.

3. Bagaimana pengisian ini dilakukan?

Pengisian ini dilaksanakan melalui pembelajaran di dalam buku teks Bahasa Melayu. Terdapat enam muka surat aktiviti seni bahasa berkaitan tulisan jawi dan seni khat.

4. Adakah murid akan menguasai jawi melalui enam muka surat ini?

Ia dilaksanakan untuk memperkenalkan tulisan khat bagi meningkatkan pengetahuan murid mengenai aspek seni, warisan dan sejarah Bahasa Melayu. Sehubungan itu, ia bukan satu pembelajaran komprehensif untuk menguasai jawi.

5. Adakah ia berlaku di SJK sahaja?

Tidak, pengenalan ini melibatkan semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJK.

6. Bilakah keputusan ini dibuat?

Perancangan pengenalan tulisan khat ini telah dilaksanakan melalui semakan semula KSSR sejak tahun 2014.

7. Adakah untuk Tahun Empat sahaja?

Pengenalan tulisan jawi dan seni khat ini adalah untuk Tahap 2 dengan melibatkan Tahun Empat pada tahun 2020, Tahun Lima pada tahun 2021 dan Tahun Enam pada tahun 2022. Murid Tahap 1 (Tahun Satu hingga Tiga) tidak terlibat.

8. Adakah tulisan jawi dan seni khat ini akan diuji dalam ujian dan peperiksaan.

Tidak. Tiada pentaksiran dijalankan.

9. Kenapa memaksa murid bukan Melayu mempelajari tulisan ini?

Ia bukan paksaan sebaliknya satu usaha untuk meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah Bahasa Melayu. Tambahan pula, tulisan jawi juga telah diajar di SJK melalui mata pelajaran bahasa Melayu sejak 2015 lagi. Ini boleh dirujuk kepada buku teks bahasa Melayu untuk SJK tahun lima cetakan 2015 di muka surat 85 hingga 88 (bawah tema 6 Menghargai Budaya Bangsa Unit 17 Seni Tulisan).

10. Mengapa tulisan khat dan tidak memberi fokus kepada pengekodan dan cabang ilmu lain?

Tulisan jawi dan seni khat merupakan pengisian tambahan yang relevan untuk mata pelajaran bahasa Melayu. KPM memperkenalkan pengkodan kepada murid sekolah rendah dan menengah dalam pelaksanaan KSSR dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Semakan 2017. Di sekolah rendah ia melibatkan murid Tahap 2 (Tahun Empat, Lima dan  Enam). Untuk sekolah menengah melibatkan Tingkata Satu hingga Tiga. Aspek coding ini dipelajari melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi serta Asas Sains Komputer.

Artikel berkaitan:

Penggubalan DKSP libatkan pengenalan tulisan khat ini telah bermula sejak tahun 2014

Khat: Masih banyak isu pendidikan perlu diberi fokus besar

'Tulisan jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu bukan perkara baharu, hentikanlah kontroversi'

Khat untuk nilai warisan dan identiti negara

Saranan perkenal kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat akan dipertimbang